Monday, July 22, 2013

IC Sabah: Yong Teck Lee hanya tahu bagi cadangan tapi enggan ulas kelemahan

Yong: Sabah must issue own IC 
Sabahans must be allowed to issue their own identity cards to stop foreigners from obtaining citizenship, suggested Sabah Progressive Party (SAPP) president Datuk Seri Yong Teck Lee to the Royal Commission of Inquiry on illegal immigrants in Sabah. Yong explained that the Federal government did not seem serious in dealing with the problem of Filipinos and Indonesians obtaining Malaysian citizenship, and Sabah has to take its own initiative in combating this problem. - SAPP
Kerajaan tentunya tidak mempunyai masalah mengeluarkan IC baru untuk Sabah jika negeri ini adalah sebuah negara. Sebuah negara yang terdiri dari beberapa buah negeri seperti Malaysia, memerlukan hanya satu IC bagi mempermudahkan urusan harian. Kegagalan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee memahami hakikat ini bukan sahaja menyukarkan kehidupan rakyat Sabah yang belajar atau bekerja di negeri-negeri lain, malah boleh menimbulkan sentimen kenegerian yang tidak baik untuk masa depan negara.

Sejak tercetusnya idea SAPP ini hinggalah ke hari ini, pemimpin-pemimpin SAPP termasuklah Yong Teck Lee gagal menjelaskan secara terperinci tentang bagaimana ianya boleh dilaksanakan. Mereka juga gagal mengkaji mengenai baik buruknya cadangan ini untuk masa depan negara. Disebalik kegagalan demi kegagalan itu, SAPP terus mendesak kerajaan supaya mengeluarkan IC baru khas untuk Sabah atas alasan Mykad yang ada pada hari ini boleh dimiliki dengan mudah oleh pendatang asing.

Mungkin ramai yang berpendapat bahawa cadangan SAPP ini amat baik untuk dilaksanakan, namun bagaimana dengan penerimaan negeri-negeri lain? Adakah kerajaan di negeri-negeri lain sanggup mengiktiraf IC Sabah untuk sebarang urusan di negeri tersebut? Dan bagaimana pula dengan pelajar-pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran di negeri-negeri lain? Adakah semua institusi pendidikan di negara ini akan mengiktiraf IC Sabah?? Sekiranya kesulitan seperti ini timbul, apa penyelesaian dipihak SAPP??.. 

Semua kesan-kesan ini sepatutnya sudah dipertimbangkan, dikaji dan diperhalusi oleh para barisan kepemimpin SAPP sebelum mencadangkan IC Khas Sabah. Namun malangnya sehingga hari ini Yong Teck Lee masih diam membisu dan enggan mengulas kelemahan-kelemahan tersebut melainkan terus mendabik dada menganggung-agungkan cadangannya.

Memandangkan Sabah memiliki IC lain selain Mykad (jika dilaksanakan), bermakna warga Sabah selepas ini adalah pendatang asing bagi negeri Sarawak, Selangor, Kedah dan sebagainya. Inikah yang dibayangkan oleh SAPP dengan mencadangkan idea itu? Sudah tentu sentimen kebencian terhadap warga Sabah akan lebih subur selepas ini berbanding dengan sebelumnya (provokasi kenegerian melalui facebook) jika kerajaan Malaysia membenarkan Sabah mengeluarkan IC sendiri.

Sebelum ini pemimpin SAPP dengan bongkak lagi sombong berkata, sekiranya mereka berjaya merampas kerajaan Sabah, Mykad yang ada pada hari ini dengan serta-merta digantikan dengan IC Sabah. Bermakna cadangan ini akan terus dilaksanakan tanpa persetujuan kerajaan diperingkat pusat serta kerajaan di negeri-negeri lain. Jesteru, jika SAPP memerintah, warga Sabah tidak boleh lagi keluar-masuk ke negeri-negeri lain kerana tidak mempunyai Mykad. Malah para pelajar atau pekerja yang berada di semenanjung juga terpaksa balik ke Sabah kerana tidak boleh berurusan tanpa Mykad dan kemungkinan besar status warga Sabah di semenanjung juga akan bertukar kepada warga asing.

Jika alasan Yong Teck Lee bahawa Mykad yang ada pada hari ini telah tercemar kerana mudah dimiliki oleh warga asing, apa pula jaminan dari beliau agar IC Sabah tidak mudah dimiliki warga asing?? Rasanya lebih tidak selamat apabila kuasa memberikan IC terletak ditangan kerajaan SAPP atau Yong Teck Lee. Tidak mustahil mereka juga akan menggunakan kelebihan itu untuk membawa masuk lebih ramai warga asing dari negara China untuk dijadikan pengundi tetap mereka. Semua kemungkinan ini perlu juga diambil kira memandangkan parti politik masa kini sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kuasa mereka.

Malah Yong Teck Lee juga gagal menjelaskan bagaimana bentuk kerajaan negeri Sabah jika beliau menjadi Ketua Menteri kelak. Yong juga gagal menjelaskan tentang apa pendekatan yang bakal diambil oleh beliau bagi mengawal tingkah-laku atau tindak tanduk pegawai-pegawainya supaya mereka tidak terlibat dengan sindiket pengeluaran IC.. Malah timbul juga pertanyaan sekiranya Yong Teck Lee menjadi Ketua Menteri Sabah, adakah rakyat Sabah secara automatiknya akan lebih bersikap patriotik, alim, jujur, bersih dan sebagainya sehingga tidak ada antara mereka yang terlibat dengan amalan rasuah bagi membantu warga asing dalam mendapatkan IC? Kesimpulannya, masalah Mykad ini boleh diselesaikan tanpa perlu Sabah memiliki IC sendiri.

Saya lebih bersetuju jika kerajaan persekutuan mengeluarkan satu lagi Mykad baru yang lebih berkualiti dan tidak mudah ditiru. Kemudian keluarkan arahan menarik balik semua Mykad di Malaysia dan mengarahkan semua warga Malaysia mendaftarkan semula kerakyatan mereka dengan membawa bersama dokumen-dokumen sokongan seperti surat lahir dan sebagainya. Dengan cara ini, warga asing yang mendapat kerakyatan melalui pintu belakang bukan sahaja dapat dikenalpasti dengan mudah malah penyelesaiannya juga merangkumi semua negeri, bukan hanya di Sabah.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.