Saturday, July 13, 2013

Kejayaan Membangunkan Semula Sektor Pelancongan Sabah Buktikan Kemampuan BN

Rasa kurang yakin terhadap kemampuan kerajaan dalam merancakkan semula sektor pelancongan Sabah selepas insiden pencerobohan di Lahad Datu bukan sahaja dirasai oleh penulis sendiri, malah mungkin majoriti rakyat di negeri ini. Pandangan itu ada asasnya berdasarkan logik akal bahawa bukan mudah sesebuah negara membangunkan semula sektor yang terjejas lebih-lebih lagi apabila insiden itu mendapat liputan meluas di dalam dan luar negara.

Kerajaan melalui kementerian pelancongan tentunya lebih merasai cabaran ini kerana tugas memulihkan sektor tersebut memerlukan kementerian berkenaan berhadapan dengan persepsi negatif dikalangan masyarakat antarabangsa, malah jika dilihat dari peranan sektor ini sebagai penyumbang utama kepada pendapatan ekonomi negeri Sabah, sudah tentu penyelesaiannya juga lebih kepada bersifat mendesak. Selain itu, pihak yang terlibat aktif atau berkepentingan dalam sektor ini juga turut berkongsi cabaran dan kerisauan yang sama kerana sumber pendapatan mereka turut akan terjejas jika insiden itu gagal atau lambat ditangani.

Namun berkat usaha kerajaan melalui kementerian pelancongan samada di peringkat negeri mahupun persekutuan akhirnya berjaya menamatkan kerisauan pihak-pihak yang berkepentingan dalam sektor ini apabila jumlah ketibaan pelancong menunjukkan peningkatan berbanding tempoh yang sama sebelumnya. Menurut Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Irene Charuruks berdasarkan jumlah kedatangan pelancong sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini (Jan-Mei), ia meningkat sebanyak 14.8 peratus iaitu daripada 1,014,543 pada tahun 2012 kepada 1,164,453 tahun ini.

Berdasarkan statistik terbaru tersebut, penulis sendiri mengagumi bagaimana kementerian yang terlibat dapat memulihkan sektor pelancongan Sabah dalam waktu yang singkat. Timbul juga persoalan, apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam merancakkan semula sektor pelancongan negeri ini. Mungkinkah disebabkan oleh tertubuhnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone), atau mungkinkah atas inisiatif Tourism Malaysia dalam usaha menarik serta membina pemahaman media asing berkaitan negeri ini memlalui Mega Familiarisation (Mega Fam)? Atau sememangnya negeri ini mempunyai daya tarikan tersendiri merangkumi semua produk pelancongan?

Walau apapun langkah yang diambil kerajaan dalam memulihkan semula sektor pelancongan Sabah, bagi penulis "jenama" Malaysia itu sendiri cukup memberikan keyakinan kepada masyarakat dunia bahawa negara ini mampu menangani apa juga konflik dalam negara. Kebolehan dan kepakaran negara dalam menangani krisis negara-negara yang bergolak disamping mengekalkan keamanan dalam negara sudah disaksikan oleh penduduk seluruh dunia. Sebab itu, ketika pencerobohan berlaku di negeri ini, kehadiran pelancong tidak pernah berhenti walaupun jumlahnya sedikit terjejas.

Secara jujurnya, penulis mengagumi keberkesanan dan kecekapan kerajaan dalam menangani masalah-masalah yang timbul dalam negara bukan hanya kerana kejayaan kerajaan dalam menangani isu pencerobohan di Lahad Datu, sebaliknya merangkumi semua aspek termasuklah ekonomi dan politik. Jika bukan kerana kestabilan sosial, ekonomi dan politik, penulis yakin bahawa negeri ini tidak akan dikenali melalui lambang gunung Kinabalu dan Orang Utannya. Walaupun diduga dengan pelbagai bentuk cabaran, samada ancaman dari luar mahupun dari dalam, kerajaan tetap mampu menanganinya dengan baik sekalipun wujud pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan provokasi.

1 comments:

  1. pelancongan di Sabah tetap menggalakkan

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.