Friday, July 5, 2013

Berita Baik: Kenaikan gaji kakitangan awam akan dibayar hujung bulan ini

KOTA KINABALU: Kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, awal tahun ini akan dibayar pada hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kakitangan awam.

“Surat pekeliling sudah saya keluarkan dan semua akan dapat kenaikan gaji tahunan ini pada penghujung bulan Julai.

“Maknanya bulan Julai mereka akan dapat kenaikan gaji tahunan. Satu kenaikan gaji yang akan melibatkan lebih satu juta kakitangan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Produktiviti Dalam Perkhidmatan Awam, di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, kelmarin.

Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman, Pegawai Kesihatan Kawasan Penampang Dr.Mohd Saffree Mohd Jeffree, Pengerusi Majlis Bersama kebangsaan (MBK) Sains dan Teknologi Dalam Kumpulan Pelaksana Adnan Mat dan Presiden Sabah Medical Services Union Maiman Muntial.

Kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320 itu diumum Perdana Menteri awal tahun ini. Mereka yang layak mendapat satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) itu membabitkan semua kakitangan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) bertaraf tetap, sementara dan kontrak yang dilantik sebelum 1 Julai 2013 dan sedang berkhidmat pada hari berkenaan.

Mohamad Zabidi berharap para peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan kenaikan gaji kakitangan awam.

“Jangan pula, bila kita umum (gaji), semua dapat gaji pada hujung Julai, barang pun naik harga,” katanya.

Berkenaan dengan seminar itu beliau memuji usaha MBK Sains dan Teknologi, Pejabat Kesihatan Penampang dan Sabah Medical Services Union atas kejayaan menganjurkan seminar itu.

“Ini satu langkah yang baik untuk memberi pendedahan kepada para pegawai kerajaan mengenai kepentingan meningkatkan produktiviti dalam perkhidmatan awam,” katanya.

1 comments:

  1. yang berhormat..saya ingin mengajukan pertanyaan berkenaan pekerja bergaji hari (sementara). bagaimana pula dengan sistem pembayaran gaji bagi pekerja bergaji hari dengan sistem gaji minimum? ini kerana sistem kiraan gaji kami bermula pada 11.jun.2013 sehingga 10.julai.2013..yang akan dibayar pada ujung bulan julai.2013..adakah gaji kami pada ujung bulan ini akan dibayar seperti bulan-bulan sebelumnya ataupun kami akan dibayar dengan sistem gaji minimum?

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.