Sunday, June 16, 2013

JAMES JANJI KERJA KERAS BANGUNKAN SUGUT

SUGUT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sugut merangkap Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Bahagian Beluran Datuk James Ratib berjanji akan bekerja keras untuk membangunkan kawasan Sugut dan membela nasib penduduk luar bandar.

“Saya berasa syukur kerana majlis angkat sumpah ADUN telah dilangsungkan pada hari Khamis dan berjanji akan kerja kuat untuk memberi perkhidmatan yang terbaik untuk menunaikan amanah dan aspirasi rakyat di Beluran, khususnya kawasan DUN Sugut,” kata James ketika ditemui kelmarin.

“Dalam persidangan DUN minggu hadapan, saya akan mengutarakan beberapa isu yang menjadi keperluan dan keutamaan rakyat dan juga mencadangkan beberapa pelan pembangunan jangka panjang untuk DUN Sugut,” tambahnya lagi.

Sebagai wakil rakyat yang baru beliau juga menyokong saranan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman agar wakil-wakil rakyat berbahas dengan teratur dan penuh tanggugjawab serta menjalankan tugas dengan baik demi membela nasib rakyat di kawasan mereka.

"Jadi ADUN adalah satu tanggungjawab yang berat. Oleh itu saya amat memerlukan kerjasama dari semua pihak termasuk pegawai-pegawai kerajaan serta rakan-rakan BN lain," katanya agar segala agenda pembangunan yang dirancangkan akan dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan penduduk DUN Sugut.

James juga memberitahu bahawa beliau akan terus mengadakan lawatan turun padang untuk berjumpa dengan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat dan rakyat bagi mendengar rintihan dan aduan mereka.

Beliau berkata beliau dapat mendekati rakyat menerusi program turun padang beliau untuk mengenalpasti masalah dihadapi rakyat di kawasan DUN Sugut dan mencari penyelesaian mengatasinya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.