Thursday, June 13, 2013

Lonjakan Di Bursa Tanda Agenda Ekonomi BN Diterima Berbanding Pembangkang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata lonjakan lebih 100 mata di Bursa Malaysia, dengan kenaikan sehari terbesar dalam sejarahnya, sehari selepas Barisan Nasional (BN) mengekalkan pemerintahannya pada pilihan raya umum ke-13, menunjukkan penerimaan pasaran terhadap agenda ekonomi kerajaan berbanding pembangkang. 

"Adalah menarik untuk melihat peningkatan itu sebagai sokongan terhadap jalan yang telah kita pilih untuk Malaysia. 

"Tetapi ia juga satu pernyataan kelegaan. Selepas setahun perkembangan yang tidak menentu, risiko politik berkurangan," kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, dalam ucaptama pada Invest Malaysia 2013, persidangan yang dianjurkan Bursa Malaysia dan ditaja bersama oleh Maybank Investment Bank di sini Khamis. 

Pada 6 Mei, sehari selepas pilihan raya umum, FTSE Bursa Malaysia KLCI ditutup pada paras tertinggi pada 1,752.02 mata, dan penganalisis mengaitkannya dengan kemenangan BN yang properniagaan, yang akan terus berkuasa. 

Penganalisis berkata bursa akan terus mengalami kenaikan, dengan pelabur mula menggunakan tunai mereka, yang sebelum ini tidak memasuki pasaran kerana menunggu keputusan pilihan raya. 

Mereka berkata selepas ini, akan terdapat peningkatan dalam aktiviti belian diterajui pelabur institusi tempatan dan asing. 

Pasaran kini didagangkan pada 1,756.18 mata. 

Mengenai masa hadapan, Perdana Menteri berkata lima tahun akan datang bakal memberi peluang kepada kerajaan untuk menetapkan laluan Malaysia bagi dekad seterusnya. 

"Saya faham dan menerima mesej daripada pengundi, bahawa semasa kita terus melalui jalan ini, kita perlu telus dan bertanggungjawab, dan manfaat transformasi ekonomi mesti sampai kepada semua rakyat Malaysia. 

"Saya akan berusaha untuk memastikan kejayaan negara kita tanpa meminggirkan mana-mana pihak," katanya. 

Dalam dunia yang tidak menentu, beliau berkata, Malaysia muncul sebagai destinasi pelaburan yang menarik, menjadi tempat kepada antara pasaran modal utama di rantau ini, menawarkan pasaran bon korporat keempat paling aktif di Asia dan pasaran IPO kelima terbesar di dunia. 

"Apabila digabungkan, mereka dua setengah kali lebih besar daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), menyediakan pembiayaan penting untuk perniagaan domestik dan antarabangsa. 

"Terdapat petunjuk bahawa minat ini di Malaysia akan dikekalkan. Pasaran utama dijangka kekal kukuh tahun ini, dengan sebahagian besar daripada pembiayaan datang dari pasaran bon (dan) IPO yang dalam perancangan dijangka terus teguh, dengan lebih banyak penerbit berbanding tahun lepas. 

"Tahun ini, penyertaan asing di Bursa Malaysia mencecah US$1 bilion buat pertama kalinya. Syarikat-syarikat yang disenaraikan di Indeks Komposit KL kini menjana 45 peratus daripada pendapatan mereka dari luar negara. 

Beliau berkata tahun ini telah menyaksikan aliran masuk asing bersih yang besar ke dalam kedua-dua pasaran, dengan aset bawah pengurusan berkembang kepada RM505 bilion dan nilai aset bersih unit amanah semakin meningkat, mencecah 20 peratus daripada permodalan pasaran ekuiti. 

Najib berkata pelancaran struktur alternatif seperti amanah perniagaan akan terus membuka pasaran modal. 

Bagi tujuan ini, beliau berkata, usaha sedang dijalankan untuk menggalakkan keterangkuman pembiayaan yang lebih lagi dan memastikan akses yang lebih baik untuk mereka yang baru bermula, usahawan berwawasan dan entiti kecil dan sederhana.

--BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.