Friday, June 21, 2013

EKONOMI SABAH TERUS BERKEMBANG

KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah bukan saja berada di landasan tepat tetapi terus berkembang di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN). Dengan kestabilan politik dan keadaan ekonomi yang baik, negeri ini akan terus menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing.

“Dengan adanya pelaburan yang lebih banyak maka peluang pekerjaan dan perniagaan juga banyak dapat diwujudkan,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Kewangan pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini kelmarin. 

Beliau berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN), sebagai parti yang diberi kepercayaan dan mandat oleh rakyat, akan terus memastikan agenda pembangunan serta aku janji pada pilihan raya ke-13 (PRU13) dipenuhi. Musa Aman berkata segala program pembangunanyang dirancang akan dilaksana selaras dengan aku janji dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Dalam menjalankan tugas dan amanah ini, saya pohon kepada semua Ahli Yang Berhormat pembangkang khususnya, supaya dapat melihat kebaikan dan kemurnian hasrat kerajaan BN dalam melaksanakan pelbagai dasar pembangunan yang menjurus kepada mempertingkat kualiti hidup rakyat dan memacu pembangunan ekonomi negeri ke arah kemakmuran serta kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, memberi jaminan bahawa dengan mandat baharu yang diberikan rakyat Sabah kepada BN, semua program pembangunan yang dirancang sebelum ini bukan sahaja akan dilaksana bahkan diteruskan serta dipertingkat.

Beliau berkata Bajet Negeri 2013 berjumlah RM4,088.48 juta bertujuan untuk memperkembangkan lagi ekoonmi negeri dan ianya merupakan bajet terbesar pernah dilaksanakan dengan pelbagai inisatif untuk memenuhi kehendak dan asparasi rakyat.

“Justeru, kerajaan BN Sabah akan melipatgandakan lagi usaha dan bergerak lebih pantas bagi meneruskan pelaksanaan program pembangunan yang telah dirancang sesuai dengan Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan (GTP/ETP),” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Musa yang juga pengerusi BN negeri, berkata kerajaan bukan sahaja mampu merancang malah berupaya melaksanakan segala perancangan dasar, projek dan inisiatif untuk kesejahteraan rakyat.

“Apa yang penting, selepas ini kita perlu terus turun padang, berikan perkhidmatan dan pembelaan yang terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Mengulas sidang penggal pertama yang berakhir kelmarin beliau berkata wakil pembangkang lebih banyak mengelirukan Dewan dengan memutar belit fakta dan mengeksplotasi isu untuk kepentingan politik sempit mereka.

“Malah mereka seolah-olah tidak memahami atau pura-pura tidak tahu pelbagai usaha dan kejayaan kerajaan BN dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di seluruh negeri, termasuk di kawasan yang mereka menangi,” katanya.

Persidangan Dewan ditangguh.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.