Sunday, June 23, 2013

Kadar Pengangguran Negara Rendah Berbanding Negara Maju

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran negara yang rendah iaitu pada 3.1 peratus adalah bukti kerajaan mampu mengurus ekonomi negara dengan baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata kadar pengangguran negara yang rendah itu juga menjadikan Malaysia sebuah negara yang hampir mencapai tahap guna tenaga kerja penuh.

Malaysia juga mendahului negara maju lain seperti Sepanyol yang mencatat kadar pengangguran 26.5 peratus, Itali (11.6 peratus), Amerika Syarikat (7.7 peratus), Australia (5.5 peratus) dan Jepun (4.2 peratus), katanya pada pelancaran perhimpunan Hari Pekerja 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini kelmarin.

Lebih 12,000 pekerja mewakili pelbagai kesatuan sekerja, persatuan majikan, jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta menghadiri majlis itu. Najib berkata: “Ada negara yang pertumbuhannya meningkat tetapi tidak dapat sediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Bagaimanapun, kita (Malaysia)berjaya mengembangkan ekonomi dengan kadar pengangguran rendah 3.1 peratus, dan hampir mencapai guna tenaga kerja penuh.”

Selain itu, dalam usaha mencapai agenda transformasi negara, usaha meningkatkan jumlah tenaga pekerja mahir dan mengutamakan kebajikan pekerja adalah dua aspek penting bagi mencapai matlamat tersebut, katanya. Perdana Menteri berkata kerajaan juga menyediakan dasar dan program di sektor awam dan swasta yang dapat mempertingkatkan kemahiran, kompetensi serta keilmuan para pekerja.

Setakat ini hanya 28 peratus pekerja di Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai pekerja mahir, dan kerajaan mensasarkan menjelang 2020, angka ini mesti mencapai sasaran 50 peratus, tambahnya. Beliau berkata untuk itu, para pekerja di negara ini perlu berusaha untuk dikategorikan sebagai pekerja yang mahir, bukan pekerja yang tidak mahir ataupun separuh mahir.

Najib berkata majikan juga perlu memberi penekanan terhadap kebajikan para pekerja bagi memastikan golongan pekerja, sama ada sektor awam atau swasta, dapat terus dihargai atas dedikasi dan produktiviti yang disumbangkan mereka dalam organisasi. Najib juga berkata kesepaduan antara golongan pekerja, majikan dan kerajaan perlu diperkukuh bagi menjayakan agenda transformasi negara kerana masing-masing mempunyai peranan penting dalam bidang tertentu. 

“Tanpa kesepaduan tiga golongan ini, kita akan menghadapi perbalahan konflik yang akan menjadi hambatan kepada pencapaian kepada dasar transformasi negara kita,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan sentiasa melaksanakan penambahbaikan dalam perkara berkaitan pekerja termasuk pindaan terhadap akta berkaitan dengan umur persaraan dan juga pelaksanaan gaji minimum bagi sektor swasta.

“Lanjutan umur persaraan serta pelaksanaan gaji minimum negara akan memberi impak positif kepada seluruh warga kerja di negara ini. Kedua-dua inisiatif ini akan menyumbang kepada jumlah tabungan pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan anugerah kepada tokoh pekerja pelbagai kategori yang terdiri daripada Pengurus Besar Era Edar Marketing Sdn Bhd Hamsiah Ismail dinobatkan sebagai tokoh pekerja negara kategori eksekutif, kerani Hong Leong Bank Berhad Mohamed Dauzkaply Nor Ghazali (bukan eksekutif) dan Pegawai Penyelidik Sosial Abdul Rais Mohamad Mokhtar (orang kelainan upaya). Setiap daripada mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil.

Syarikat Vitrox Technologies Sdn Bhd di Bayan Lepas Pulau Pinang dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri untuk kecemerlangan Sumber Manusia (sektor swasta) dengan membawa pulang wang tunai RM50,000, piala dan sijil. Najib turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Leipzig, Jerman sempena World Skill Competition (WSC) 2013.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.