Sunday, June 9, 2013

Jawatan Ketua Pembangkang Sabah: Salah Pilih, Bye Bye PKR!!

SETELAH gagal menjadi Ketua Menteri Sabah kerana Pakatan Rakyat gagal menggulingkan Kerajaan Barisan Nasional pimpinan seteru ketatnya, Musa Aman; Datuk Seri Panglima Dr. Lajim Haji Ukin semakin pasti dilantik sebagai 'Ketua Menteri' Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah menjelang Persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan pada 13 hingga 20 Jun 2013.

Namun halangan utama yang dihadapinya ialah tentangan daripada ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan yang dikhabarkan enggan memberikan laluan kepada beliau, sekalipun setelah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim campurtangan.

Paparazzi mendapat maklumat bahawa pada awalnya, PKR Sabah mencadangkan ADUN Api-Api, Christina Liew untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang, namun kesemua ADUN DAP membantah bagi menyekat pengaruh Christina mengatasi 'KeCinaan' DAP.

Jalan paling selamat bagi DAP ialah dengan mencadangkan ADUN daripada KDM iaitu Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing; namun ADUN PKR tidak bersetuju kerana Bumburing bukannya ahli PKR, sebaliknya Presiden APS yang menggunakan logo PKR pada PRU-13 yang lalu.

Sebagai jalan tengah, terdapat ura-ura majoriti ADUN Pakatan Rakyat agar memilih ADUN KDM yang beragama Islam dan satu-satunya calon tunggal ialah Jelani; sehingga dikhabarkan Anwar telah berhempas pulas memujuk Jelani agar memberi laluan kepada senior atau veteran iaitu Lajim.

Tanpa disangka, Jelani bertindak balas dan enggan menyerahkan jawatan penting untuk survival Pakatan Rakyat di Sabah kepada Lajim sehingga berlaku pertelingkahan lidah setelah Jelani meningkah bahawa Lajim bukan Senior dalam PKR dan hanya menjadi 'Pembonceng' seperti Wilfred Bumburing.

Sebaliknya sebagai persediaan awal, tanpa pengetahuan PKR Sabah, Ibu Pejabat PKR di Kuala Lumpur menerima permohonan Lajim menyertai PKR sekitar tiga minggu lalu bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Ketua 'Menteri' Pembangkang di DUN Sabah.

Bagaimanapun Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said ketika dihubungi mengesahkan Pakatan Rakyat belum menyerahkan Watikah Perlantikan Ketua Pembangkang dan mengakui akan menerima kunjungan 12 ADUN Pakatan Rakyat pada 11 Jun depan.

Difahamkan, mengikut peraturan Dewan Undangan Negeri Sabah, Pakatan Rakyat diwajibkan menyerahkan nama Ketua Pembangkang untuk urusan penentuan kedudukan kerusi di dalam DUN Sabah kerana jika mereka gagal berbuat demikian, kesemua mereka terpaksa duduk di tempat yang berasingan dengan kedudukan Pembangkang.

Bagaimanapun jika Anwar bertegas mahu agar kesemua 11 ADUN Pakatan Rakyat menerima perlantikan Lajim sebagai Ketua 'Menteri' Pembangkang, maka dikhuatiri akan berlaku kekecohan jika Jelani meminta agar perlantikan berkenaan dibuat secara undian di kalangan ADUN Pembangkang.

Majoriti ADUN yang ditemui agak keberatan berketuakan 'Raja Katak dan Raja Judi' tersohor di Malaysia kerana bimbang hasrat Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya pada PRU-14 dan DUN Sabah pada PRU-15 tidak mungkin kesampaian; malah akan menjadikan Pakatan Rakyat mundur 20 tahun terkebelakang.

Apatah lagi, sudah 100 peratus pasti Lajim akan melobi jawatan Ketua Perhubungan PKR Sabah dan Anwar akan terus melayan Ketua Cabang Sabah sebagaimana kejayaan beliau memperdaya Ansari Abdullah.

Nampaknya, semangat juang Jelani semakin kental kerana sikapnya semakin lantang sekalipun meluahkan buah fikiran melalui Facebook dalam bahasa Rungus yang antara lainnya bermaksud, "Kalau Silap Pilih, Bye Bye gaman ini PKR!"

Paparazzi masih gagal menghubungi Jelani untuk mendapatkan pengesahan beliau berhubung hasratnya untuk merebut jawatan Ketua Pembangkang di DUN Sabah; apatah lagi beliau merupakan ADUN Pakatan Rakyat yang terawal mencadangkan Kabinet Bayangan.

Tidak dapat dipastikan apakah Anwar akan mengambil kesempatan mengumumkan Ketua Pembangkang DUN Sabah dalam lawatan ke Sabah esok; dengan satu syarat, jika beliau tidak dihalang masuk ke Sabah seperti nasib yang diterima anaknya, Nurul Izzah dan Tian Chua baru-baru ini. Anwar mungkin boleh menyusup masuk ke Sabah seperti PATI melalui laluan tikus, iaitu Labuan!

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.