Tuesday, June 18, 2013

Musa Aman Sifatkan Najib-Muhyiddin Gandingan Mantap

KOTA KINABALU: Gandingan mantap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta sokongan padu semua pemimpin dan rakyat akan memastikan Sabah terus menikmati kemajuan dan kemakmuran berkekalan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata kerajaan negeri dan rakyat Sabah juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Najib atas kejayaan mengemudi perjuangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 dan terus memimpin negara, kerajaan dan rakyat.

Berucap pada majlis jamuan negeri sempena pembukaan rasmi penggal pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Dewan Bangkuasi, Likas, dekat sini Isnin malam, Musa yang juga pengerusi BN negeri berkata persidanggan DUN kali ini membawa makna yang cukup signifikan kerana kerajaan BN telah diberi kepercayaan dan mandat oleh rakyat untuk terus mentabdir dan menerajui tampuk pemerintahan negeri.

Dalam hal ini, beliau berkata kerajaan negeri akan terus melipatgandakan lagi usaha dan memperhebatkan gerak kerja pembangunan yang telah dirancang agar dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Musa juga menyeru semua anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan supaya lebih fokus dengan tanggungjawab dan komitmen bagi memastikan setiap sasaran kerja serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dapat dicapai.

"Segala cabaran dan apa juga halangan serta rintangan perlulah ditangani secara kolektif, bijaksana dan berkesan," katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama yang padu dan jitu antara pemimpin dan para penjawat awam bagi membentuk satu pasukan yang cekap dan mantap, terutama dalam memastikan kejayaan pelbagai dasar dan program pembangunan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ini termasuk Dasar Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri, Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Rancangan Malaysia Kesepuluh, program transformasi kerajaan dan beberapa agenda dan inisiatif baharu yang lain, katanya.

Ketua Menteri berkata selepas rakyat membuat keputusan dengan memberi mandat baharu kepada BN pada pilihan umum baru-baru ini, "kini adalah masa untuk bekerja, berkhidmat dan berbakti kepada rakyat".

"Justeru, saya berharap agar semua wakil rakyat memanfaatkan sepenuhnya persidangan Dewan Undangan Negeri sebagai wadah terbaik, bukan sahaja untuk melibatkan diri secara aktif dalam perbahasan, tetapi juga yang lebih penting setiap hujah yang disampaikan benar-benar mewakili suara rakyat peringkat akar umbi," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.