Wednesday, June 19, 2013

Sabah Tempat Ke Tiga Selepas Selangor dan Johor Dari Segi Nilai Pelaburan

KOTA KINABALU: Sabah menjadi daya tarikan popular pelaburan di kalangan para pelabur tempatan dan asing. Pengurusan kewangan dan juga pentadbiran yang baik oleh kerajaan negeri telah memberikan keyakinan terhadap para pelabur.

Sabah menduduki tempat ketiga selepas Selangor dan Johor dari segi nilai pelaburan di kalangan sektor pembuatan sepanjang 2012.

Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Haji Mahiruddin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena pembukaan rasmi mesyuarat pertama penggal pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke-14 di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.

Menurut beliau sektor pembuatan yang menjadi antara sektor pemacu pertumbuhan ekonomi negeri, mensasarkan nilai pelaburan sebanyak RM5.44 bilion pada tahun ini.

Tun Juhar berkata, bagi mencapai sasaran itu penyediaan kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian akan terus dipertingkatkan dengan menumpukan pembangunan industri kluster seperti Kelompok Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu dan Sandakan, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan kelompok bersepadu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Katanya, daripada jumlah sasaran pelaburan itu, sebanyak RM2.5 bilion dijangka dapat direalisasikan di SOGIP, RM1.0 bilion di KKIP, RM415 juta di POIC Lahad Datu, RM328 juta di POIC Sandakan dan sebanyak RM1.2 bilion dari pelbagai pelaburan dalam sektor pembuatan.

“Selain itu, minyak dan gas merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar dan sektor ini dijangka akan terus berkembang lebih pesat lagi dengan penemuan kawasan-kawasan minyak yang baru di pesisiran perairan negeri Sabah.

“Dijangka sektor ini boleh menarik pelaburan bernilai melebihi RM30 bilion. Projek-projek ‘upstream’ dan ‘downstream’ sektor ini akan terus diberikan tumpuan dan galakan yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena pembukaan rasmi mesyuarat pertama penggal pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke-14 di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.

Tun Juhar berkata, Sabah kini menjadi destinasi yang mampu menarik para pelabur tempatan dan juga luar negeri.

Beliau berkata rekod pengurusan kewangan negeri yang baik dan integriti yang mantap serta ‘good governance’ telah memberikan keyakinan yang tinggi kepada para pelabur.

“Kini negeri Sabah telah melonjak menduduki tempat ketiga selepas Selangor dan Johor dari segi nilai pelaburan dalam sektor pembuatan sepanjang tahun 2012,” katanya.

Dari segi pencapaian Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Juhar berkata prestasi pencapaian SDC yang memasuki fasa kedua (2011-2015) adalah memberangsangkan dan telah mencatat momentum pertumbuhan yang memuaskan.

“Setakat ini, sebanyak 11 buah projek swasta berkeutamaan dan berimpak tinggi yang mendapat kelulusan peruntukan Kerajaan sebanyak RM1.7 bilion sedang dilaksanakan.

“Pada keseluruhannya, jumlah pelaburan bagi projek-projek SDC setakat penghujung 2012 adalah berjumlah RM14.5 bilion,” katanya.

Selain itu katanya, SDC juga akan meningkatkan usaha untuk memperbanyakkan aktiviti bernilai tambah melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat global dan pengukuhan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Kerajaan Negeri akan mempergiatkan lagi usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta di negeri ini, di samping menyediakan kemudahan-kemudahan infrastruktur dan modal insan yang berkemahiran tinggi khusus untuk pembangunan SDC.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.