Sunday, August 18, 2013

Tidak Mampu Bayar Deposit Rumah PPR Tapi Mampu Bina Semula Rumah Baru

Cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Datuk Hj Samsudin Yahya memang baik kerana ingin menempatkan mereka di tempat yang lebih selesa dan keselamatan merekapun agak terjamin berbanding di Kampung Cenderamata. - Sabahkini

Begitulah penjelasan Ketua Kampung Cenderamata Puan Norkiah Abu Ghafar kepada wartawan Sabahkini apabila diminta mengulas mengenai hasrat kerajaan mahu memindahkan semua mangsa kebakaran di kampung berkenaan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Anggerik Batu 5 Jalan Sibuga, Sandakan. Namun disebalik hasrat murni kerajaan ini, Puan Norkiah bukan sahaja enggan berterima kasih dan bersyukur malah cuba menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap kerajaan dengan menyerang kredibiliti kedua-dua wakil rakyat BN yang disifatkan beliau sebagai gagal membantu penduduk kampung berkenaan

Puan Norkiah kononnya sedih dengan jawapan Adun Sekong Datuk Hj Samsudin Yahya apabila mangsa kebakaran meminta kebenaran untuk membina semula rumah mereka di kampung tersebut. Menurut Samsudin, mereka tidak dibenarkan membina semula rumah di atas tapak itu kerana tanah itu adalah milik swasta, malahan kampung itu juga masih berstatus kampung haram kerana belum digazet dan belum diiktraf sebagai perkampungan rasmi. Entah apa salahnya Datuk Samsudin berterus terang sebegitu sehingga Puan Norkiah tergamak menyambut buruk niat murni kerajaan ini dengan satu kenyataan yang bertujuan untuk menjejaskan imej dua orang wakil rakyat BN?

Bagi penulis, adalah lebih baik Datuk Samsudin berterus terang daripada membohongi penduduk kampung dengan mengatakan bahawa masalah itu akan dibincangkan dengan pihak MPS. Puan Norkiah patut fikir apa yang boleh dilakukan oleh pihak MPS jika memang benar tanah itu milik swasta? Datuk Samsudin juga tidak mempunyai hak atau kuasa mengarahkan MPS supaya merampas tanah itu yang kemudiannya diberikan secara percuma kepada penduduk kampung. Bukankah tindakan merampas hak orang lain juga adalah salah disisi undang-undang?

Menurut Puan Norkiah, alasan mangsa kebakaran enggan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat yang disediakan kerajaan adalah kerana mereka tidak berkemampuan untuk membayar deposit sebanyak RM1,000 memandangkan mereka kini masih dibawah tanggungan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Namun yang peliknya, bagaimana mangsa kebakaran boleh meminta  kebenaran untuk membina semula rumah mereka di tapak asal jika deposit RM1000 menjadi beban kepada mereka? Adakah untuk membina rumah di Kampung Cenderamata hanya memerlukan kos kurang dari RM1000??

Sesiapa sahaja pasti akan mudah bersimpati apabila mengetahui sesuatu kejadian berlaku kepada orang lain, begitu juga dengan penulis.. Dikala umat Islam bergembira menyambut Hari Raya pertama bersama keluarga masing-masing, kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Cenderamata, terpaksa bersedih apabila 200 buah rumah milik mereka hangus dijilat api dalam satu kebakaran yang mengerikan. Namun, penulis lebih bersimpati apabila ada pihak yang cuba menghasut penduduk kampung supaya tidak menyokong hasrat murni kerajaan dalam membantu mangsa kebakaran disamping menggunakan insiden tersebut untuk memburuk-burukkan pihak tertentu.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.