Saturday, January 26, 2013

INFO: Waspada sindiket penipuan lesen BL1M

KOTA KINABALU: Orang ramai khususnya golongan belia disaran tidak terpedaya dengan sindiket penipuan pendaftaran program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) kelolaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Barisan Nasional.

Pengerusi SHEB Pemuda UMNO Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata langkah berwaspada itu berikutan pihaknya mengesan 27 kes sindiket terbabit di Kedah yang menawarkan perkhidmatan mengedarkan borang secara manual dan mengutip bayaran tunai.

“Kita ingin tegaskan di sini bahawa kami tidak melantik mana-mana ejen individu dan kita tidak melakukan transaksi secara tunai.

“Kami hanya menerima bayaran RM199 menerusi kiriman wang kepada My E.G. Services Bhd selaku vendor bagi mengurus program itu,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi SHEB Pemuda UMNO Sabah Bahrul Razha Chuprat di sini semalam.

Tengku Azman berkata pihaknya akan mengambil insiatif terbaik menangani perkara itu memandangkan masih dalam peringkat prapendaftaran dan ia akan dibuka secara rasmi bermula 1 Feb hingga 14 Feb ini.

Program BL1M terbuka kepada warganegara berusia antara 17 dan 40 tahun dan yuran RM199 meliputi permohonan lesen, gambar, kelas latihan amali, ujian teori undang-undang berkomputer dan praktikal di institut memandu.

Orang awam yang berminat boleh mendaftar nama untuk menikmati insentif program itu melalui laman sesawang www.bl1m.my mulai semalam dan mereka yang terpilih akan dihubungi setelah program itu dilancarkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan program itu pada akhir bulan ini. - The Borneo Post

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.