Thursday, January 24, 2013

INFO: Guru, pegawai pendidikan digalak mohon jawatan kosong SISC, SIP

KOTA KINABALU: Guru-guru dan para pegawai pendidikan yang berpengalaman digalakkan supaya memohon jawatan kosong yang ditawarkan dalam SISC dan SIP untuk merealisasikan Program Transformasi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). 

SISC atau Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Specialist Coaches) dan SIP atau Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Partners) adalah antara komponen utama bagi Program Transformasi PPD. 

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Hajah Maimunah Hj Suhaibul, berkata kuota bagi SISC adalah seramai 198 orang pegawai bagi 24 PPD di seluruh negeri di mana setakat ini hanya 32 orang yang telah memohon dan layak. 

“Sementara bagi SIP pula memerlukan seramai 44 orang pegawai yang mana pada masa ini hanya terdapat 18 orang sahaja,” katanya pada sidang media di Majlis Perutusan Awal Tahun 2013 Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah yang bertemakan ‘Berfikir Di Luar Kotak Ke Arah Transformasi Pendidikan Negara’ di KK High School, di sini, kelmarin. 

Tema itu, katanya, adalah bersesuaian dengan tuntutan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025. 

Tambahnya, Program Transformasi PPD itu juga hanya dilaksanakan di dua buah negeri rintis iaitu Sabah dan Kedah. 

Beliau menjelaskan, mereka yang memegang jawatan DG41 dan DG48 ke atas layak untuk memohon SISC dan SIP. 

Maimunah berkata, dalam Program Transformasi PPD itu, terdapat lima aspirasi yang menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) JPN dan setiap PPD. Lima aspirasi itu adalah, pengurangan bilangan sekolah Band 6 dan Band 7, peningkatan bilangan sekolah Band 1 dan Band 2, peningkatan 10 peratus Gred Purata Sekolah (GPS), pengurangan 25 peratus perbezaan jurang antara bandar dengan luar bandar dan pencapaian enrolmen murid sebanyak 95 peratus. 

Maimunah memberitahu sesi temuduga bagi kedua-dua jawatan itu akan diadakan pada 5 hingga 8 Februari ini. - New Sabah Times

1 comments:

  1. apa kelebihan jwtn ini dari segi gaji & elaun ???...saya fikir ramai guru di sabah layak mohon tp lebih mempertimbangkan faktor gaji & elaun... kalau takde keistimewaan, lebih baik bertugas di sekolah...

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.