Tuesday, March 5, 2013

Negara perlu bertindak dengan segala kekuatan yang ada - Najib

Misi Selamatkan Sabah Bermula
Pasukan Keselamatan Mula Operasi Besar-besaran Tumpaskan Penceroboh - Najib

KUALA LUMPUR -- Pasukan keselamatan Malaysia mula melancarkan operasi besar-besaran untuk menumpaskan kumpulan penceroboh di Lahad Datu pada pukul 10 pagi tadi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata operasi bermula dengan serangan udara melalui pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diikuti dengan ledakan mortar.

"Pada saat-saat saya sedang berucap ini, pasukan tentera darat dan anggota polis dalam kereta perisai dengan anggota yang mengikuti di belakang kereta perisai sedang melakukan tindakan memberkas dan menumpaskan kumpulan yang melanggar kedaulatan negara," katanya pada majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara+Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini Selasa.

Beliau berkata tindakan kerajaan yang berhemah pada peringkat awalnya, tidak lain dan tidak bukan untuk tidak membenarkan setitik darah tertumpah di bumi Sabah sama ada dalam kalangan rakyat Malaysia mahupun kumpulan yang menceroboh.

Bagaimanapun, katanya, beliau amat dukacita bahawa niat yang baik dan murni ini telah dibalas dengan menembak dan membunuh dengan cara yang sangat kejam terhadap pasukan polis negara.

Sehubungan itu, katanya, sebagai ketua kerajaan, beliau mengambil keputusan bahawa tempoh untuk memberi pertimbangan telah berakhir dan negara perlu bertindak dengan segala kekuatan yang ada.

"Kerana soal kedaulatan dan keamanan, kita tidak akan membiarkan seinci tanah digugat oleh sesiapa pun.

"Saya bersyukur bahawa perhimpunan pada hari ini dan rakyat jelata pada umumnya, menyokong penuh pendirian dan tindakan yang diambil oleh kerajaan.

"Marilah kita sama-sama menghadiahkan surah Al-Fatihah kepada wira-wira negara yang telah terkorban demi mempertahankan tanahair tercinta. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya. - Bernama

Kenyataan Perdana Menteri Atas Serangan Di Lahad Datu

PUTRAJAYA -- Sejak pencerobohan oleh kumpulan bersenjata di Lahad Datu pada Feb 12, kerajaan telah mengambil pendekatan untuk menyelesaikan konflik ini tanpa pertumpahan darah. Pihak polis telah mengadakan pertemuan dan rundingan dengan harapan penceroboh akan bersetuju keluar dengan aman tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang yang serius.

Semakin lama pencerobohan ini berlanjutan, jelas kepada pihak berkuasa bahawa penceroboh tidak berniat untuk keluar dari tanah Sabah. Pada hari Jumaat lepas mereka telah melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang bertugas di kawasan tersebut menyebabkan dua anggota kita terbunuh, sehari kemudian enam lagi anggota polis dibunuh oleh penceroboh di Semporna.

Setelah serangan yang pertama, saya telah menegaskan bahawa penceroboh mesti menyerah diri dan jika mereka enggan pihak berkuasa negara ini akan bertindak.

Sebagai negara Islam yang cintakan keamanan dan mengangkatkan perjuangan penyelesaian konflik scara perundingan, usaha kita menggelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya. Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh, rakyat Malaysia khususnya di Sabah bimbangkan keselamatan mereka.

Kerajaan mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga marurah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut oleh rakyat. Pada jam 7pagi ini pasukan keselamatan telah melancarkan serangan di Kampung Tanduo. -- Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia. - Bernama

Kawalan Keselamatan Diperketat Di Zon Merah, Bandar Lahad Datu Masih Tenang

LAHAD DATU -- Pihak keselamatan memperketatkan kawalan keselamatan di zon merah susulan serangan ofensif yang dilancar ke atas penceroboh bersenjata di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo di sini Selasa.

Tinjauan Bernama mendapati pasukan keselamatan meletakkan zon penampan bagi membezakan kawasan perang dan ruangan untuk orang awam di laluan masuk ke Kampung Tanduo, Labian dan Tanjung Batu yang dikawal ketat oleh anggota keselamatan terdiri daripada tentera dan polis.

Kawasan itu menjadi zon larangan masuk bagi orang awam dan pihak tidak berkaitan.

Sementara itu, masyarakat setempat termasuk di kawasan berjiran seperti Felda Sahabat 16 pula mengambil langkah keselamatan dengan berkurung di dalam rumah.

Tinjauan Bernama di bandar Lahad Datu, kira-kira 130 kilometer dari kawasan pencerobohan kumpulan bersenjata terbabit, mendapati keadaan seperti biasa dan orang ramai masih keluar dengan urusan masing-masing.

Walaupun masih banyak premis perniagaan ditutup, operasi beberapa kedai runcit, kedai kasut dan kedai telekomunikasi di Bandar Sri Perdana berjalan seperti biasa.

Awal pagi ini pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif dari udara dan darat ke atas penceroboh yang menjadikan Kampung Tanduo sebagai kubu mereka sejak 9 Feb lepas.

Serangan itu dilancar selepas kumpulan terbabit tetap enggan menyerah diri sekalipun telah diminta berbuat demikian oleh pasukan keselamatan.

Sehingga kini, lapan anggota pasukan Polis Diraja Malaysia terkorban ketika mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman kumpulan penceroboh terbabit yang mendakwa mereka 'Tentera Sulu'. - Bernama

4 comments:

  1. Saya bangga jadi rakyat Malaysia. Dari negara berasas pertanian, ia bertukar ke perusahaan dan sekarang menuju ekonomi berasas innovasi. Malaysia maju kerana mempunyai pemimpin yang memang berniat majukan ugama, bangsa dan negara. Bila maju ramai pulak ingin "menjajah". Saya bersyukur kepada Allah kerana bumi bertuah ini dikurniakan pemimpin yang baik dan bijak. Saya sayang Tun Mahathir dan DS Najib. Saya doakan perajurit kita dilindungi Allah sentiasa. saya sayang PDRM, ATM, TLDM dan TUDM.

    ReplyDelete
  2. Selepas insiden ini pihak kerajaan harus memastikan kesemua agensi pertahanan negara di setiap peringkat harus mempertingkatkan kawalan dan memperkemaskan sistem pertahanan terutamanya di Sabah.

    ReplyDelete
  3. Selepas insiden ini pihak kerajaan harus memastikan kesemua agensi pertahanan negara di setiap peringkat harus mempertingkatkan kawalan dan memperkemaskan sistem pertahanan terutamanya di Sabah.

    ReplyDelete
  4. musuh akan diburu hingga ke lubang cacing

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.