Saturday, March 2, 2013

Pakar-pakar IMF menjangkakan ekonomi Malaysia terus mencapai prestasi baik

Lupakan seketika isu pencerobohan di Lahad Datu, kerana disebalik isu kontroversi yang menggemparkan seluruh negara ini, ada satu lagi isu yang bakal membuatkan pemimpin-pemimpin pembangkang meroyan.  Sebelum ini pembangkang tidak henti-henti memburuk-burukkan serta meremehkan program Transformasi Ekonomi negara. Bagi mereka, hanya Anwar saja yang mampu mengurus ekonomi negara dengan cekap dan berkesan walaupun sehingga hari ini Anwar gagal menjawab tuduhan RM3 bilion dengan "cekap dan berkesan".

Berikut adalah laporan pakar-pakar ekonomi IMF yang menjangkakan ekonomi Malaysia terus mencapai prestasi baik dibawah Program Transformasi Ekonomi Negara:

Reformasi meluas seharusnya dapat menyokong pertumbuhan yang lebih tinggi dan lebih terangkum bagi ekonomi Malaysia yang menikmati pertumbuhan berasaskan domestik pada 2012 dan dijangka berkembang sebanyak kira-kira lima peratus tahun ini, di samping kadar pengangguran dan inflasi yang rendah, kata pakar-pakar ekonomi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam laporan tetapnya mengenai keadaan ekonomi Malaysia, pakar-pakar IMF itu berkata negara terus mengalami pemulihan kukuh yang bermula pada 2010 selepas krisis kewangan global.

Ia berkata pertumbuhan ini dicetuskan oleh semakin bergantungnya negara ini kepada permintaan domestik.

Perbelanjaan yang lebih tinggi oleh isi rumah, firma dan kerajaan bagi barangan pengguna dan modal telah mengimbangi eksport yang lemah ke Eropah dan negara-negara lain di dunia, kata laporan IMF mengenai Penilaian Kestabilan Sektor Kewangan Malaysia.

Penggunaan disokong oleh kadar faedah yang rendah, pasaran buruh yang kukuh dan pemindahan fiskal kepada isi rumah, katanya.

Perdagangan barangan pengguna yang semakin meningkat dalam kalangan negara-negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara juga membantu melindungi ekonomi Malaysia daripada kelembapan yang berlaku di banyak negara lain di dunia, kata IMF.

Ia menjangkakan ekonomi Malaysia terus mencapai prestasi yang baik dalam jangka sederhana.

Laporan itu membayangkan bahawa produktiviti dan keterangkuman berkemungkinan dirangsang oleh pelaburan di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara, serta reformasi yang meluas yang dijangkakan dalam Program Tranformasi Kerajaan - satu strategi untuk mengubah cara sektor awam Malaysia beroperasi.

Antara reformasi-reformasi yang bertujuan menjadikan pertumbuhan lebih teguh, lebih seimbang dan terangkum, ialah langkah-langkah untuk meningkatkan kualiti pendidikan, yang seharusnya membantu merapatkan jurang kemahiran Malaysia dan meningkatkan sumbangan modal insan dalam pertumbuhan ekonomi, dan usaha untuk menambah penyertaan tenaga buruh wanita, yang seharusnya membantu meningkatkan pertumbuhan tenaga buruh.

Laporan itu menggesa pihak-pihak berkuasa Malaysia untuk terus berusaha dengan pelaksanaan teguh reformasi-reformasi ini.

Pakar-pakar ekonomi IMF itu menyambut baik pengenalan skim gaji minimum pada 2013, yang seharusnya menambah pendapatan pekerja miskin, dan mencadangkan supaya lama kelamaan dipertimbangkan pengenalan insurans pengangguran, dan reformasi kepada sistem persaraan untuk memperkukuhkan lagi perlindungan sosial. - Bernama

1 comments:

  1. nampaknya dakwaan sesetangah pihak yang mengatakan ekonomi Malaysia merundum adalah tidak benar.

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.