Tuesday, March 26, 2013

Musa Aman Ikrar Pikul Tanggungjawab Pengerusi Esszone Sebaik Mungkin

KOTA KINABALU, 25 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berikrar akan memikul tanggungjawab sebaik mungkin selaku pengerusi Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) demi menjamin keselamatan penduduk dan negara.

Sambil menghargai kepercayaan yang diamanahkan, Musa berkata komitmen penubuhan ESSZONE yang merangkumi 10 daerah sebagai memberi asas perundangan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) membuktikan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap rakyat Sabah.

"Pewujudan ESSZONE itu dapat memberi kelegaan kepada rakyat Sabah dan menguatkan keyakinan negeri Sabah akan lebih selamat dan selesa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan peringatan Hari Polis Ke-206 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini, Isnin.

Ketika mengumumkan pewujudan ESSZONE berkuat kuasa hari ini di Kuala Lumpur, Najib berkata ia membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Dibantu ketua pegawai eksekutif dan anggota jawatankuasa lain selain kekuatan anggota polis dan tentera, Musa berharap dapat membentuk kerjasama tulin selaras dengan hasrat perdana menteri dan rakyat Sabah.


Di KUALA LUMPUR, Ketua Penerangan dan Perhubungan Persatuan Bekas Polis Malaysia Mohd Zainan Mohd Yunus berkata ESSZONE mampu menguatkan benteng keselamatan di setiap inci kawasan di Sabah dalam memastikan keadaan dan rakyat negeri itu terbela.

"Menerusi ESSZONE, lebih banyak kawasan dapat dikawal dan terjaga termasuk dalam aspek mengurangkan jenayah merentas sempadan di sana," katanya kepada Bernama.

Bekas Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani pula menyarankan 5,000 anggotanya di Sabah bergerak membantu kerajaan dalam mengenal pasti penceroboh atau dalang yang cuba mengganggu gugat negeri itu pada masa akan datang.

Muhammad berkata rakyat perlu menjadi mata dan telinga kerajaan untuk menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan supaya sebarang taktik penceroboh dapat dikesan awal.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata ESSZONE adalah satu langkah wajar bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk Sabah yang masih trauma akibat insiden pencerobohan itu.

"Penubuhan ESSZONE memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan komited untuk mempertahankan negeri itu daripada ancaman penceroboh," katanya

Sementara itu, penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar menyifatkan ESSZONE sebagai usaha kerajaan yang prihatin terhadap masalah yang membelenggu komuniti Sabah akhir-akhir ini.

Beliau yakin pelaksanaan itu turut membantu dalam mengurangkan jenayah seperti penyeludupan dan jenayah merentas sempadan.

"Saya rasa ESSZONE pasti akan memberi keyakinan kepada rakyat Sabah untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, mereka tidak perlu takut dengan penceroboh, mereka boleh pergi ke tempat kerja, sekolah dengan selamat," katanya. - Bernama

2 comments:

  1. 1. Mampukah Musa mengetuai Jawatankuasa ini? dengan kegagalan beliau sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri, isu kawalan keselamatan negeri sehingga berlakuknya Pencerobohan Lahad Datu, Sabah

    2. Isu PATI yang berleluasa di Negeri Sabah tidak dapat dibendung dengan sebaiknya. Sehingga Jawatankuasa Kabinet PATI di ketuai Timbalan Perdana Menteri pun tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Kesannya PATI Sabah memijak kepala.

    3. Penempatan warga asing atas air dan pulau yang gagal di selesaikan oleh Musa seperti di Pulau Gaya, Mabul, Kg Simunul dan lain-lain penempatan yang bakal mengundang masalah sebagai "bom jangka" kepada Negeri Sabah.

    Dengan kos berbilion ringgit ESSZONE, dengan Musa sebagai Pengerusinya pasti tidak dapat menyelesaikan masalah keselamatan kerana sudah dibuktikan sebelum ini Musa gagal sebelum ini. Siapakah pula ketua pegawai eksekutif yang dicadangkan? kalau orang Musa lagi...maka tambahlah tempang jawatankuasa itu.... sebab Ketua Pegawai Eksekutif yang hanya mengampu bosnya tidak akan menyelesaikan masalah.

    http://www.sabahterkini2u.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. ini memastikan kawalan keselamatan di Sabah terjamin

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.