Sunday, March 10, 2013

Ops Daulat: Wartawan dan Penduduk Kampung Lalui Saat Cemas

PENGALAMAN WARTAWAN TERSEREMPAK PENCEROBOH BERSENJATA

Sekumpulan wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman mendebarkan apabila terserempak anggota militan bersenjata ketika membuat tinjauan di Kampung Tanjung Labian, Felda Sahabat dekat sini Ahad.

Lebih mencemaskan, lapan wartawan dari pelbagai syarikat media itu 'dipaksa' berlari bersama penduduk yang secara tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian dan bertempiaran lari meninggalkan kampung itu.

Kejadian pada kira-kira 10 pagi itu melibatkan wartawan dan jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), jurugambar The Star, New Straits Times serta jurukamera dan pemberita BERNAMA TV dan Al-Hijrah.

Mengimbas kembali, wartawan BERNAMA Mohd Hisham Abdul Rafar berkata pada mulanya beliau bersama rakan media mendapati perkampungan yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu lengang dan suram.

Malah, mereka yang tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan Proton Saga juga menggambarkan penempatan itu seolah-olah 'kampung berhantu' kerana rumah-rumah tiada berpenghuni serta tidak berkunci dengan binatang ternakan berkeliaran.

"Seperti biasa, kami menjalankan tugas mencari berita dan merakam keadaan kampung.

Tiba-tiba sekumpulan penduduk termasuk kanak-kanak bergegas keluar dari beberapa penjuru kampung, seolah-olah lari dari sesuatu.

"Terkejut dengan keadaan itu, kami menahan seorang daripada mereka bagi bertanyakan apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertindak demikian setelah mendengar empat das tembakan dilepaskan dari dalam kawasan itu," katanya.

Menyedari keadaan tersebut boleh mengancam keselamatan, Mohd Hisham yang sebelum ini pernah mengikuti misi kemanusiaan ke Pakistan segera beredar dari lokasi itu bersama rakan media lain.

Jurufoto The Star, Normimie Diun, 38, berkata situasi bertambah cemas apabila beliau yang ketika itu telah berada di dalam kenderaan terlihat sosok seorang lelaki berpakaian serba hitam memegang senjata berdiri berhampiran sebatang pohon kelapa sawit, kira-kira enam meter dari lokasi mereka.

Dalam keadaan itu, beliau dan rakan-rakan terus menundukkan kepala dan pemandu terus memecut meninggalkan kawasan itu.

Dalam pada itu katanya, beliau masih sempat menjerit mengingatkan rakan-rakan supaya tidak merakamkan gambar kerana khuatir lelaki itu bertindak ganas.

"Saya sempat menjenguk keluar dan terlihat lelaki itu terus duduk dan berselindung di sebalik pokok berkenaan. Saya masih terperanjat, namun bersyukur penceroboh itu tidak melepaskan tembakan," katanya.

Normimie berkata dalam perjalanan pulang mereka kemudian berselisih dengan beberapa kenderaan polis yang menuju ke kampung tersebut.

Kesemua kumpulan wartawan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiba dengan selamat di Felda Sahabat 16, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Pasukan keselamatan melancarkan Op Daulat di kawasan sekitar Lahad Datu berikutan insiden pencerobohan oleh kumpulan militan bersenjata dari Selatan Filipina yang berlarutan sejak 12 Feb lepas. - BERNAMA

PENGALAMAN DITAWAN OLEH PENGGANAS BERSENJATA

“Saya ingat saya akan mati kerana pengganas mengacukan pisau pada leher saya,” kata Azmain Mahmood, 32, penduduk Kampung Tanjung Batu yang berjaya meloloskan diri daripada kumpulan pengganas terbabit. 

Menurutnya, dalam kejadian jam 8 malam Ahad lalu, dia menonton televisyen apabila pintu rumahnya diketuk.

Sebaik membuka pintu, dia terkejut mendapati sekumpulan lelaki bersenjata yang terus menyerbu masuk ke dalam rumahnya.

“Mereka mengacu pisau pada leher saya sambil bertanya sama ada saya yang memberitahu kedudukan mereka kepada anggota keselamatan Malaysia.

“Saya yang sangat takut ketika itu terus menjawab ‘bukan saya, kamu salah orang’. Pengganas terbabit terus mengarahkan kami keluar ke kawasan lapang di luar rumah.

“Kumpulan pengganas berkenaan kemudian meminta pelbagai barang, termasuk makanan dan keperluan harian daripada penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Dewan Fajar Harapan, semalam.

Menurutnya, seorang daripada pengganas terbabit bertanya siapa boleh keluar membeli beras untuk mereka dan dia terus menawarkan diri untuk membantu.

“Saya sengaja menawarkan diri dan apabila dibenarkan keluar dari kampung, saya terus melarikan diri.

“Ketika itu sekurang-kurangnya 50 pengganas menawan hampir 100 penduduk Kampung Tanjung Batu dan sebahagiannya dibawa ke Kampung Tanduo dengan berjalan sejauh tiga kilometer sebelum dibebaskan secara berperingkat-peringkat beberapa hari kemudian,” katanya.

Beliau berkata, semua penduduk yang dibebaskan kumpulan pengganas itu tidak dicederakan sepanjang berada di Kampung Tanduo. - myMetro

PENGALAMAN DITAHAN 7 LELAKI BERSENJATA

Seorang penduduk kampung Tanjung Batu melalui saat cemas apabila ditahan sekumpulan tujuh lelaki bersenjata semasa menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya.

Mujur, kumpulan lelaki yang merupakan penceroboh bersenjata itu hanya meminta rokok, kata Abdul Rahman Seilani, 53.

Menceritakan detik cemas yang dilalui Isnin lepas, Abdul Rahman berkata beliau terserempak dengan sekumpulan kira-kira tujuh lelaki bersenjata dan berpakaian celoreng di jalan raya di kampung itu, kira-kira pukul 9 pagi.

"Ketika saya lalu di depan mereka, seorang daripada mereka meminta rokok daripada saya dalam bahasa Melayu.

"Saya kemudian memberikan mereka sekotak rokok yang saya ada dan mereka memberikan wang RM50 tetapi saya tidak mengambilnya," katanya ketika ditemui Dewan Fajar Harapan di Felda Sahabat kira-kira 130 kilometer dari sini Khamis.

Bimbang dengan keselamatan dirinya, Abdul Rahman mengambil keputusan untuk segera meninggalkan kampung menerusi pesisir pantai untuk ke Kampung Tanjung Labian yang terletak bersebelahan kampungnya.

"Saya kini tinggal bersama anak di kuarters pekerja Felda di Fajar Harapan," katanya.

Dewan Felda Harapan di Felda Sahabat itu menempatkan penduduk dari tujuh kampung yang berpindah berikutan tindakan pasukan keselamatan menggempur kedudukan pengganas di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari sini. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.