Tuesday, March 5, 2013

Rakyat Sabah Bangsa Sulu Taat Setia Dengan Malaysia

LAHAD DATU -- Meskipun mempunyai pertalian persaudaraan dengan bangsa Sulu di selatan Filipina, nyata taat setia rakyat Sabah bangsa ini terhadap Malaysia tidak goyah.

Sebaliknya, mereka mengutuk tindakan kumpulan penceroboh bersenjata yang jelas mencabuli hak keamanan mereka yang dinikmati sejak sekian lama, selain menyifatkan tindakan itu sebagai memalukan.

Bahkan ada antara mereka tidak mahu dikaitkan dengan kumpulan berkenaan dalam kemelut yang kini memasuki hari ke-22, kerana malu.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Azly, 45, berkata sejak merdeka, rakyat Sabah termasuk bangsa Sulu hidup aman damai di negeri itu bahkan mendapat layanan baik daripada kerajaan negeri.

"Kebanyakan mereka yang berbangsa Sulu ada yang menjadi nelayan dan usahawan serta kakitangan kerajaan. Ini contoh kejayaan bangsa Sulu di sini.

"Pada saya, sepatutnya orang di sana membiarkan bangsa mereka di sini maju dan berjaya...mereka kena reda. Persoalannya kenapa baru sekarang soal ini (isu tuntutan ke atas Sabah) berbangkit?," katanya kepada Bernama di Lahad Datu.

Azly, seorang usahawan, berkata kemelut pencerobohan tidak sepatutnya berlaku sekiranya rakyat di selatan Filipina memahami sejarah bahawa Sabah sudah menjadi milik Malaysia.

"Mereka ini berpendapat selagi ada bulan dan bintang, selagi itu Sabah milik mereka kerana mereka tidak melihat kepada sejarah," katanya.

Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata daripada jumlah pengundi berdaftar di Sabah seramai 926,638 orang tahun lepas, dianggarkan 80,000, ialah pengundi bangsa Sulu.

Beliau yakin bangsa itu tidak akan menimbulkan apa-apa masalah berikutan krisis yang berlaku di Kampung Tanduo dan Semporna yang menyaksikan 19 orang penceroboh terbunuh manakala lapan anggota keselamatan negara gugur.

"Bangsa Sulu yang menjadi rakyat Malaysia sangat taat setia dan mencintai negara ini. Mereka sudah mempunyai keluarga dan pekerjaan tetap seperti nelayan, peniaga dan penjawat awam.

"Apa yang berlaku, pencerobohan ini tidak disukai oleh rakyat Malaysia bangsa Sulu kerana ia menjejaskan imej mereka...dan pada saya ini cumalah isu untuk mendapatkan perhatian antarabangsa berkaitan tuntutan ke atas Sabah," katanya.

Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Amin, berkata beliau menentang sekeras-kerasnya tuntutan mereka yang menggelar diri mereka di bawah Kesultanan Sulu, untuk memiliki Sabah kerana beliau lebih selesa dengan pemerintahan kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata mengikut kefahaman masyarakat di Lahad Datu, Sabah bukan milik Kesultanan Sulu. - Bernama

SYABAS kepada penduduk berbangsa Sulu di negeri ini yang terus setia dan menyokong tindakan-tindakan kerajaan Malaysia dalam menangani kes pencerobohan di Lahad Datu. Inilah sikap yang perlu ada dalam diri rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi setelah bertahun-tahun menikmati kehidupan aman di negeri/negara ini. Walaupun mempunyai perkaitan persaudaraan atau dari segi bangsa, namun semangat patriotik atau cintakan negara tetap didahulukan apabila berhadapan dengan krisis-krisis yang menyentuh soal kedaulatan negara.

1 comments:

  1. Suluk di Sabah akan setia dgn Malaysia

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.