Wednesday, March 6, 2013

Ops Daulat: Gambar dan Laporan TERKINI (06 March 2013)

Seorang Musuh Ditembak, Penceroboh Menyamar Orang Awam - KPN

KUALA LUMPUR, 6 Mac -- Seorang penceroboh bersenjata dipercayai mati ditembak ketika cuba menyerang hendap pasukan keselamatan pada hari kedua 'Op Daulat' di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Bagaimana pengganas yang ditembak itu sempat dilarikan oleh rakan sekumpulan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar Rabu.

Ismail mengesahkan kumpulan penceroboh kini menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan. - Bernama


13 Mayat Pengganas Ditemui Di Kampung Tanduo

LAHAD DATU, 6 Mac -- Tiga belas mayat pengganas bersenjata ditemui di Kampung Tanduo dalam operasi susulan dan penggeledahan Rabu selepas gerakan ofensif dilancar pasukan keselamatan negara terhadap kubu kumpulan pengganas di kampung itu.

Satu daripada mayat itu adalah pengganas yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan pada pukul 6.45 pagi ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Pada 6.45 pagi tadi pasukan kita telah bertempur dengan pasukan penceroboh dan pasukan keselamatan kita menembak mati seorang anggota kumpulan penceroboh itu.

"Pada 1.45 tengah hari pasukan forensik kita diserang kumpulan penceroboh ketika menjalankan siasatan di kawasan kubur di mana mayat anggota mereka ditanam di kawasan kampung itu," katanya yang mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera. - Bernama

4 Pengganas Sulu ditangkap

SEMPORNA, 6 Mac — Polis menahan empat lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh yang terlibat dalam kejadian serangan hendap di Kampung Sri Jaya Simunul, di sini, Sabtu lepas.

Empat lelaki yang ditahan dalam operasi khas oleh sekumpulan anggota polis dari jabatan cawangan jenayah berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah itu berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an.

Tinjauan Bernama di lokasi operasi mendapati dua rumah diperiksa dan polis berjaya menahan dua lelaki di rumah itu manakala seorang lelaki ditahan ketika keluar dari belukar dan seorang lagi ditahan dalam pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang mencurigakan. - Bernama






2 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.