Sunday, March 10, 2013

Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia paling hebat diuji

Krisis di Lahad Datu mungkin membuatkan Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia paling hebat diuji walaupun belum empat tahun mengambil alih kepimpinan negara. 

Ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, pernah berdepan krisis keselamatan dalam negeri semasa menangani peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan peristiwa darurat membanteras pengganas komunis sehingga Allahyarham melancarkan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan skim Rukun Tentera untuk menjamin keselamatan rakyat. 

Kini Najib pula menggalas tanggungjawab seperti Allahyarham ayahandanya. 

Seperti ayahandanya, sedikit sebanyak pengalaman semasa menjadi Menteri Pertahanan, dua kali, iaitu pada 1990-95 dan 1999-2008 membuatkan Najib memahami aspek keselamatan dan ketenteraan. 

Di bawah pimpinan Najib semasa itu, Malaysia menghantar bantuan ketenteraan untuk membantu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam peperangan di Bosnia pada 1993 sebelum disusuli dengan misi pasukan pengaman di pelbagai negara. 

Najib juga mencetuskan idea penubuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Disember 2003 yang masih diteruskan sehingga kini. 

Apabila Najib mengumumkan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas membabitkan enam daerah di Sabah, ia menimbulkan perasaan lega dan selamat di kalangan pelbagai kaum rakyat Sabah. 

Pengumuman Najib bermakna sebuah benteng pertahanan diwujudkan di sepanjang perairan pantai Timur Sabah sepanjang lebih 1,000 kilometer bagi menyekat sebarang elemen pencerobohan di sempadan negara. 

Perdana Menteri juga mengarahkan tambahan lima batalion tentera dan polis di kawasan strategik dengan pangkalan utama di Lahad Datu. 

Strategi itu diyakini mampu mengurangkan risiko keselamatan seperti penubuhan Rascom (Komander Keselamatan Rajang) di Sarawak pada tahun 1972 bagi mengekang keganasan komunis. 

Ketegasan Najib sebenarnya dituntut rakyat, lebih-lebih lagi setelah pihak penceroboh tidak mempedulikan rayuan kerajaan supaya mereka berundur dan kembali ke tempat asal mereka. 

Pihak berkuasa juga bersabar dan memberi peluang masa walaupun tempoh akhir yang diberi telah tamat, malah berusaha mengedar risalah supaya mereka menyerah diri secara baik. 

Tetapi, apabila anggota keselamatan mati ditembak setelah dilaporkan terpedaya dengan taktik bendera putih musuh, disusuli beberapa anggota lagi dibunuh dengan kejam di Semporna, maka gerakan ofensif dilancarkan melalui udara dengan jet pejuang F-18 dan Hawk serta darat pada pagi 5 Mac, dan bermulalah Op Daulat. 

Kerana itu jugalah Najib dengan tegas menolak tawaran gesaan gencatan senjata. Setakat ini, 52 orang penceroboh disahkan mati ditembak oleh pasukan keselamatan. 

Najib juga tidak mengetepikan diplomasi dan mengutamakan semangat kejiranan apabila beliau saling berhubung dengan Presiden Filipina Benigno Aquino III ke arah mencari penyelesaian terbaik terhadap kemelut itu. 

Perdana Menteri pastinya berharap krisis di Sabah segera dapat ditangani dengan baik, sebelum berhadapan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi. 

Harapan beliau ialah supaya seluruh rakyat, terutama di Sabah teguh bersama-sama beliau mengharungi detik getir ini. - Bernama

1 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.