Monday, March 18, 2013

Sama-sama tangani isu pengangguran - Yee Moh Chai

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Yee Moh Chai menyeru supaya pihak awam dan swasta bekerjasama menyokong usaha kerajaan bagi menanggani isu pengangguran demi kemakmuran masyarakat dan kemajuan ekonomi negara. 

Menurutnya, perhidmatan atas talian secara percuma yang disediakan oleh Jobsmalaysia adalah antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga kerja di samping meningkatkan mobiliti tenaga kerja tempatan. 

Justeru Yee yang juga merupakan Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat mengalakkan para majikan mendaftarkan kekosongan pekerjaan dengan sistem ini di jobsmalaysia.gov.my. 

Katanya, bagi mempromosikan sistem tersebut kepada para pencari kerja dan majikan, Kerajaan telah mewujudkan prasarana melalui penubuhan 15 Jobsmalaysia Point (JMP) di semua Pejabat Tenaga Kerja di seluruh Negeri Sabah dan sebuah Jobsmalaysia Centre (JMC) di Wawasan Plaza, Kota Kinabalu. 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Pekerjaan dan Program Azam Kerja 2013 (Employability) Peringkat Negeri Sabah di Suria Sabah kelmarin. 

Bercakap mengenai karnival yang berlangsung sejak Khamis lepas, Yee berkata Karnival itu memberi peluang kepada golongan pencari pekerjaan untuk bertemu secara langsung dengan bakal majikan selain mendapatkan maklumat dan memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan kehendak, kemahiran dan kelulusan yang dimiliki. 

Sementara itu beliau turut menasihatkan agar pencari pekerjaan berfikiran positif dalam usaha mereka untuk mendapatkan kerja yang sesuai. 

“Cari lah kerja kerana kerja tidak akan cari kita…. Sekiranya kita tidak mendapat sebarang kerja dalam tempoh tiga bulan, wujudkan kerja tu sendiri seperti usahawan kerana ia akan mendatangkan pendapatan yang lebih lumayan, di samping menjadi bos sendiri,” katanya. 

Yee juga menasihatkan para pencari kerja yang berminat untuk bekerja di luar negara agar mendaftarkan diri di Pejabat Tenaga Kerja yang terdekat dan menyemak kesahihan iklan-iklan tawaran kekosongan jawatan yang diperolehi melalui akhbar-akhbar tempatan, maklumat yang ditampal pada dinding kedai, perhentian bas, pondok telefon dan sebagainya sebelum menerima sesuatu tawaran pekerjaan. 

Beliau juga sempat memaklumkan bahawa kerajaan telah mewujudkan Pusat Pengurusan Pekerja Malaysia Luar Negara atau Malaysia Overseas Employees Management Centre (MOEMC) di Negeri Sabah di bawah kendalian Jabatan Tenaga Kerja Sabah bagi memberi maklumat kepada para pekerja tempatan yang ingin bekerja di luar negara tentang hak mereka sebagai pekerja serta langkah-langkah yang perlu diambil jika berlaku sebarang masalah di negara tempat mereka bekerja. 

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Sahar Darusman. - New Sabah Times

1 comments:

  1. byk usaha kerajaan dalam kurangkan kadar pengangguran

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.