Tuesday, March 12, 2013

Info TEKUN: manfaatkan program bantuan yang disediakan kerajaan

TEKUN Nasional yang dahulunya di kenali sebagai Yayasan TEKUN Nasional adalah merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diwujudkan pada 9 November 1998. Matlamat penubuhan TEKUN Nasional adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada bumiputera untuk memula dan memajukan lagi perniagaan mereka.

Layari laman web TEKUN (DISINI)

Kota Kinabalu: Kerajaan sentiasa berusaha menggalakkan penyertaan lebih ramai Bumiputera dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman. 

Katanya, ia adalah selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera (MPPB) yang berjaya dan berdaya tahan. 

“Kerajaan Pusat bersama dengan Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan untuk membantu para peniaga dan usahawan Sabah untuk terus maju dalam perniagaan yang mereka ceburi,” kata Musa di Majlis Himpunan Komuniti Usahawan Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (TEKUN) Negeri Sabah. 

Katanya, Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa memberi dan membuka ruang untuk para peniaga memajukan perniagaan mereka seperti penubuhan pinjaman TEKUN. 

Pelbagai inisatif pembangunan bagi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya dilaksanakan oleh Kerajaan dengan penuh komited. 

“Justeru pelbagai bentuk program telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk membantu usahawan seterusnya merealisasikan matlamat kita untuk menjadi sebuah Negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” katanya. 

Dalam pada itu, Musa juga menyeru kepada para usahawan untuk bergerak bersama- sama serta saling bantu-membantu antara satu sama lain bukan sahaja demi memastikan perniagaan mereka berkembang dan berdaya saing malah untuk memastikan usaha Kerajaan membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk seluruh lapisan rakyat di Sabah dan Malaysia ini beroleh kejayaan. 

Sementara itu, Musa berkata, TEKUN Nasional dari mula penubuhannya pada tahun 1998 hingga Februari tahun ini telah mengeluarkan sebanyak RM2.5 bilion kepada seramai 244,863 peniaga dan usahawan. 

“Manakala bagi Negeri Sabah sahaja TEKUN Nasional telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM171.3 juta kepada seramai 20,762 usahawan dalam tempoh yang sama,” ujarnya. 

Bagi tahun 2013, katanya, TEKUN Nasional sehingga Februari lalu telah mengeluarkan pinjaman RM87 juta lebih kepada seramai 7,690 orang manakala bagi Sabah sahaja, sebanyak RM8 juta lebih pinjaman diberikan kepada seramai 851 usahawan untuk tempoh yang sama. 

Oleh itu selaku mewakili Kerajaan Negeri, Musa mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang telah memberikan peruntukan pinjaman TEKUN yang banyak kepada rakyat Sabah. 

Rakyat Sabah yang mengambil pinjaman TEKUN ini dinasihatkan supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam memajukan perniagaan mereka dan mereka juga haruslah membayar semula pinjaman yang telah diambil, katanya. 

“Kalau kita ada kesungguhan pastinya kita akan berjaya…dan kita haruslah berjimat cermat, kerja bersungguh-sungguh dan pandai menguruskan kewangan,” nasihat Musa kepada para usahawan dan peniaga TEKUN sambil berkongsi pengalamannya sebagai ahli perniagaan sebelum menceburi diri dalam bidang politik suatu ketika dahulu. 

Dalam pada itu, Musa turut mengajak rakyat Sabah supaya berterima kasih dan bersyukur atas segala bantuan dan kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional. 

“Rakyat Sabah adalah rakyat yang tahu mengenang budi dan mereka akan membalas budi pemimpin yang baik hati dengan mengundi calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti,” kata Musa. - New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.