Thursday, March 14, 2013

Kalau kerajaan beri saya SENAPANG, saya juga akan LAWAN mereka

Perasaan benci terhadap kumpulan pengganas yang menceroboh negara sejak 12 Feb lepas semakin menebal di hati masyarakat Felda Sahabat yang melabelkan mereka seperti ‘lanun’ dan ‘binatang’. 

Keganasan yang ditunjukkan anggota kumpulan militan itu yang menyerang dan memukul orang kampung, termasuk kanak-kanak turut membangkitkan rasa marah penduduk, yang mengakui sanggup menggadai nyawa berdepan musuh yang telah mengganggu keharmonian hidup masyarakat di kawasan berkenaan. 

Lutong Atok, 67, berkata keluarganya benci dengan sikap pengganas dari selatan Filipina itu yang menyerang kampung di sekitar Tanjung Batu dan Kampung Tanduo kerana mereka tidak menghormati orang Suluk yang lain. 

“Mereka bersikap macam lanun. Pukul orang, tembak rumah orang. Malah saya sendiri pernah lihat dari jauh di Kampung Tanduo, dua minggu lepas, mereka sanggup pukul sekumpulan kanak-kanak hanya kerana menghalang jalan mereka. 

“Mereka ingat mereka berkuasa kerana pegang M-16, kalau kerajaan beri saya senapang, saya juga akan lawan mereka,” katanya penuh bersemangat sehingga menghentak meja makan, di sebuah kedai makan, Felda Sahabat 16, dekat sini. 

Bercakap kepada Bernama, Lutong berkata keluarganya menetap dan menjadi peneroka Felda sejak 30 tahun lepas dan ada dalam kalangan menantu cucunya berketurunan Suluk. 

Bapa kepada lapan anak itu berkata, kaum Suluk yang dikenalinya bukan berperangai seperti pengganas terbabit, sebaliknya mereka lebih menghormati penduduk dan peneroka di kawasan Felda Sahabat. 

“Mereka (pengganas) ini binatang yang ambil kesempatan menindas penduduk di kampung ini, merampas binatang ternakan serta memaksa kami menerima fahaman mereka tentang kesultanan Sulu,” katanya. 

Saimah Mohd Jin, 61, pula berkata kematian 56 anggota pengganas yang ditembak di dalam Operasi Daulat sebagai ‘balasan’ terhadap kekejaman dan kesengsaraan yang dilakukan mereka kepada masyarakat setempat. 

“Mereka ingat mereka itu hebat…,” katanya dengan nada marah sambil berharap pasukan keselamatan dapat segera ‘menghalau’ penceroboh itu dari bumi Sabah. 

Katanya walaupun belum berani untuk kembali ke kampung, beliau sekeluarga merasa lebih selamat dengan kehadiran pasukan keselamatan yang sentiasa menjaga keamanan di kawasan timur Sabah. - New Sabah Times

2 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.