Thursday, March 14, 2013

Tian Chua Didakwa Di Mahkamah Kerana Menghasut

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Anggota Parlimen Batu dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Khamis terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut dengan membuat empat kenyataan berhubung isu Lahad Datu.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 50, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat.

Empat kenyataan itu ialah:

*Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat;

*Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO;

*Kejadian pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah; dan

*Ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dari isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu di No. 62-2-A Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu off Jalan Yew, di Kuala Lumpur pukul 11 pagi, 1 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara maksimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya. - Bernama

1 comments:

  1. Chua mulut tempayan, patut dikenakan tindakan

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.