Saturday, March 2, 2013

Bendera Putih punca dua anggota komando polis terbunuh

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kumpulan penceroboh bersenjata telah menggunakan taktik mengibarkan bendera putih (sebagai tanda menyerah diri) untuk memerangkap anggota polis komando VAT 69 dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Jumaat.

Perdana Menteri berkata perkara itu disahkan oleh salah seorang anggota VAT 69 yang terbabit dalam pertempuran di kubu kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari selatan Filipina.

Dalam kejadian tersebut, dua anggota komando polis Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46, terkorban setelah terkena tembakan daripada kumpulan penceroboh itu di kampung tersebut yang terletak kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Dalam insiden itu, tiga lagi anggota keselamatan negara cedera dan 12 anggota kumpulan itu maut.

Najib berkata beliau dimaklumkan bahawa dua anggota polis yang terbunuh itu telah melihat bendera putih dikibarkan sebelum rakan kumpulan penceroboh itu memerhati gerakan anggota polis itu sebelum melepaskan tembakan.

"Saya tidak menolak kemungkinan itu satu perangkap oleh kumpulan itu dan ianya adalah satu taktik pengecut," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota itu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, dekat sini, hari ini. - Bernama

1 comments:

  1. penceroboh guna taktik penipuan, mmg keji

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.