20 MAYAT PENGGANAS DITEMUI SETAKAT INI
Kira-kira 20 mayat pengganas Sulu setakat ini sudah ditemukan beberapa jam selepas serangan dilakukan oleh pasukan keselamatan ke atas kumpulan penceroboh itu di Kampung Tanduo di sini awal pagi.
Sumber Utusan Online memberitahu, operasi pembersihan masih diteruskan bagi mencari saki-baki pengganas. - Utusan
MAYAT KETUA PENGGANAS BELUM DITEMUI
Ketua Polis negara mengesahkan sehingga kini pasukan keselamatan masih tidak menemui mayat ketua penceroboh, Raja Muda Azzumudie dan pimpinan lain dalam serangan udara yang dilancarkan ATM di Kg Tanduo pagi ini. - Utusan
TIADA ANGGOTA KESELAMATAN TERBUNUH ATAU CEDERA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan tiada anggota keselamatan yang terbunuh atau cedera dalam serangan ofensif terhadap pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah awal Selasa.
Selepas serangan ofensif pada pukul 7 pagi, sekitar kawasan itu kini tenang dan terdapat banyak sekatan jalan raya di sepanjang jalan ke pekan dan menuju ke Kampung Tanduo.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pasukan tentera menggunakan tiga jet pejuang F18 dan lima Hawk dalam serangan ofensif terhadap perkampungan yang menjadi kawasan pihak pengganas. - Bernama
OPERASI MEMBURU MASIH DITERUSKAN
Polis masih menjalankan operasi susulan dan penggeledahan di Kampung Tanduo, Lahad Datu kerana percaya masih ada musuh di kawasan seluas empat kilometer persegi itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata tindakan susulan selepas serangan ofensif terhadap kumpulan pengganas itu dijalankan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota polis dan tentera. - Bernama
BERJAYA CAPAI OBJEKTIF
Pihak keselamatan dipercayai dapat menyelesaikan krisis pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu selepas melancarkan serangan ofensif di kawasan Kampung Tanduo, Lahad Datu pagi Selasa.
Walaupun operasi masih berjalan, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis dan tentera mencapai objektif yang ditetapkan, mengikut sasaran yang ditentukan. - Bernama
KOMUNITI SULUK SABAH LEBIH PATRIOTIK DARI TIAN CHUA
Pemimpin dan peniaga kaum Suluk di Sabah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penceroboh di Lahad Datu dan Semporna serta menyatakan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Antaranya Persatuan Kebudayaan Suluk-Bajau Tawau, Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah dan Persatuan Kraftangan Kota Kinabalu yang turut mengakui tidak sama sekali terlibat dengan aktiviti pencerobohan itu.
"Walaupun kami berketurunan Suluk tetapi kami tidak ada kaitan dan tidak menyokong sebarang tindakan yang menggunakan kekerasan terhadap rakyat serumpun.
"Kami kaum Suluk di Sabah menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sabah," katanya. - Bernama
penceroboh telah digempur habis habisan
ReplyDelete