Sememangnya topik pencerobohan “tentera Diraja Kesultanan Sulu” yang mencemar kedaulatan negara menjadi perbualan hangat sekarang. Terpampang didada akhbar dan pelbagai media mengenai insiden berdarah itu.
Bermacam-macam jenis gambar turut tersiar dan tidak kurang juga cerita-cerita yang ditokok tambah disiarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Paling tak tahan, gambar keganasan yang meletus di Narathiwat, Thailand, juga disiarkan sama…
Sehingga kini, disahkan secara rasmi bahawa sudah 7 orang anggota PDRM telah terkorban di dalam pertempuran dengan gerila Sulu yang mengganas di Sabah itu. Antara kawasan yang disyaki telah disusup masuk penceroboh-penceroboh itu ialah Lahad Datu, Semporna dan Kunak.
Meskipun sudah menyenaraikan seramai 7 mangsa dari kalangan anggota PDRM, pihak berkuasa itu menegaskan bahawa keadaan di ketiga-tiga lokasi terbabit adalah selamat.
Kenyataan itu disokong oleh siaran media arus perdana yang menunjukkan rakyat di Lahad Datu masih bebas membeli belah di pekan Lahad Datu dan mereka masih lagi boleh keluar berkerja seperti biasa.
Tahniah kepada pasukan keselamatan yang berjaya memastikan keadaan selamat di kawasan-kawasan tersebut.
Pun begitu, ramai lagi mereka-mereka yang masih suka mencari populariti dengan mensensasikan kejadian-kejadian yang berlaku di sana. Gambar-gambar operasi pasukan keselamatan di merata kawasan itu disiarkan sewenang-wenangnya.
Tidakkah mereka sedar bahawa siaran gambar-gambar tersebut di internet bakal mendedahkan maklumat keselamatan negara kepada penceroboh-penceroboh tersebut?
Misalnya, jika kita menyiarkan gambar pasukan keselamatan yang berkawal di depan simpang tiga tertentu di Lahad Datu, sudah tentu penceroboh dari Filipina itu dapat menghidu lokasi tersebut dan mengelak dari menggunakan jalan terbabit.
Bukankah itu tindakan yang tidak wajar? Janganlah berbangga dengan siaran yang kononnya eksklusif yang mampu menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara ini…
Justeru itu, saya merayu kepada semua pengguna internet yang sayangkan Malaysia supaya jangan sesekali menyiarkan tentang gerakan atau informasi pasukan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia diluar sana.
Bukan apa, dalam hal seperti ini, tindakan yang melulu pasti akan membawa padah. Seharusnya, gunakan akal yang dikurniakan Allah untuk mempertahankan kedaulatan negara ini.
Mungkin kita tidak mampu berjuang mengangkat senjata, tapi sekurang-kurangnya kita berjuang menggunakan akal yang kita ada. Tak salah, kan? - kedahan69ers
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.