Saturday, March 9, 2013

Kerajaan Sabah sedia beri tanah untuk mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas

Kerajaan Sabah bersedia memberi kawasan tanah yang sesuai bagi merealisasikan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas (SSA) di negeri ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri hanya menunggu maklum balas mengenai keluasan tapak atau tanah yang diperlukan untuk mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua biro dan pengarang akhbar di Sri Gaya, dekat sini Jumaat. Turut hadir Setiusaha Agung Parti Bersatu Sabah Datuk Henrynus Amin dan Pengerusi MCA Negeri Datuk Edward Khoo.

Musa yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri berkata kerajaan negeri dan rakyat Sabah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas beberapa tindakan segera dan drastik untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan terutama di pantai timur dan utara Sabah.

Ini termasuk mewujudkan SSA dari Kudat ke Tawau yang berpusat di Lahad Datu dan menambah lima batalion Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), katanya.

"Saya percaya ini bagi memastikan rakyat Sabah merasa lebih selamat dan menyenangkan para pelabur, peniaga dan pelancong yang datang ke negeri ini.

"Dengan adanya Kawasan Keselamatan Khas, ia akan meningkatkan keyakinan rakyat akan tahap keselamatan terutama di kawasan pantai timur Sabah, sekali gus memberi keyakinan yang tinggi untuk meneruskan kehidupan aman damai seperti biasa," katanya.

Ketika mengumumkan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas itu di Lahad Datu semalam, Najib berkata ia penting bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini.

Najib berkata Kawasan Keselamatan Khas itu meliputi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

"Kawasan Keselamatan Khas ini berpusat di Lahad Datu yang akan menjadi pusat perintah yang menempatkan beberapa kabin sementara supaya ia dapat berfungsi dengan segera," Najib dipetik sebagai berkata.

Musa berkata tindakan itu jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi kerajaan persekutuan dalam memastikan keselamatan, kedaulatan dan keamanan terus dipertahankan.

"Kita juga berdiri teguh dan berikrar serta menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri mengenai kedudukan Sabah dalam Malaysia sebagai sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat...yang kita pertahankan sampai bila-bila," katanya.

Katanya kerajaan negeri dan seluruh rakyat Sabah juga amat menghargai keprihatinan Najib yang sanggup turun padang untuk meninjau keadaan pasukan keselamatan negara dan perkembangan Op Daulat.

"Kepada semua anggota pasukan keselamatan kita yang meneruskan Op Daulat dan yang sedang berkhidmat di seluruh pelusuk negeri, kami sentiasa mendoakan keselamatan dan kejayaan pasukan keselamatan kita dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara," kata Musa. - Bernama

1 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.