Friday, March 1, 2013

Datuk Seri Musa Aman nasihatkan semua pihak bertenang

KOTA KINABALU — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan tidak sesekali percaya kepada khabar angin dan sumber berita tidak sahih disebarkan menerusi media sosial berkaitan insiden serangan kumpulan penceroboh bersenjata terhadap anggota keselamatan negara di Kampung Tanduo, Lahad Datu. 

Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri berkata apa yang lebih penting pada masa kini ialah jangan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyebarkan khabar angin dengan tujuan untuk memburukkan lagi keadaan. 

"Pihak berkuasa akan memberikan maklumat terperinci berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Musa yang mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden serangan penceroboh itu terhadap anggota keselamatan negara. 

"Sesungguhnya kita berasa amat sedih dan bersimpati serta amat menghargai jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan kita dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya. 

Musa berkata, pihak berkuasa keselamatan sedang menangani krisis tersebut. 

"Pihak keselamatan berupaya dan mampu untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah telah terlebih dahulu memulakan serangan terhadap pasukan keselamatan Malaysia apabila mereka mara 1.5 kilometer dari tempat mereka berkampung sebelum ini. 

Dua anggota keselamatan Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera manakala 12 anggota kumpulan penceroboh itu terbunuh. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.