Rakyat Sabah ‘amat marah’ dengan tindakan pemimpin pembangkang yang cuba memperlekehkan pengorbanan anggota pasukan keselamatan negara dalam insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Beliau berkata biasanya pemimpin pembangkang lantang melemparkan fitnah, tohmahan dan serangan peribadi terhadap para pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), “tetapi dalam kejadian pencerobohan di Lahad Datu mereka kelihatan berdiam diri”.
“Namun apa yang menyedihkan ada pula pemimpin pembangkang yang memperlekehkan kejadian di Lahad Datu…ini yang bikin orang Sabah marah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Patriotik Belia Sabah – Dedikasi Khusus Untuk Wira-Wira Negara – di Lintasan Deasoka di sini kelmarin.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Peter Pang dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir.
Sebelum ini, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua mendakwa pencerobohan pengganas Sulu adalah sandiwara Umno.
Terdahulu, dalam ucapannya, Musa berkata perkembangan berkaitan isu keselamatan di Sabah banyak menimbulkan kerisauan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di seluruh negeri.
“Justeru, saya menyeru agar masyarakat umum tidak sewenang-wenangnya menyebarkan khabar angin serta perkembangan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Pada masa yang sama, janganlah mudah terpengaruh ataupun berasa gusar dan bimbang apabila mendengar berita-berita yang bukan dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dalam hal ini, Musa menyambut baik sokongan Majlis Belia Sabah terhadap isu yang dihadapi di negeri ini melalui penganjuran himpunan itu.
Musa kemudian menyaksikan acara penyerahan replika cek RM3,000 daripada presiden Majlis Belia Sabah Kevin Lim kepada wakil Media Prima yang juga presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Joniston Bangkuai untuk Tabung Perwira Lahad Datu Media Prima. - New Sabah Times
pembangkang tiada guna, tiada semangat patriotik langsung,, gila kuasa saja.. PALUI..
ReplyDelete