Saturday, April 6, 2013

Kepimpinan Huguan Siou dalam transformasi daerah Tambunan

TAMBUNAN, (Bernama) -- Sehingga awal 1980-an Pekan Tambunan, yang terletak di pinggiran Banjaran Crocker tersergam indah dan permai, hanyalah sebuah pekan kecil dengan beberapa deretan kedai kayu.

Namun, kini kelihatan struktur konkrit rumah kedai, kemudahan awam dan infrastruktur di merata-rata tempat yang menjadi mercu tanda kejayaan atau pembangunan yang dicapai penduduk pekan itu dan seluruh daerah Tambunan yang majoritinya kaum Kadazandusun.

Jelas sekali, perubahan landskap pembangunan Tambunan datang daripada hasil pengaruh dan sentuhan wakil rakyatnya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Sebagai Huguan Siou (pemimpin tertinggi) bagi masyarakat Kadazandusun Murut (KDM), Pairin juga ialah wakil rakyat Tambunan sejak 36 tahun lepas.

Pairin, 72, juga ialah Timbalan Ketua Menteri dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Anggota Parlimen Keningau dan Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan.

Ribuan penduduk Tambunan yang menikmati limpahan pembangunan sekarang ini bersyukur kerana meskipun mereka tidak melihat bangunan pencakar langit, namun segala kemudahan yang tersedia ada mampu memberi keselesaan kehidupan.


KEPIMPINAN HUGUAN SIOU MEMBELA NASIB RAKYAT

Pemimpin Kemajuan Rakyat Tambunan Laiwon Dalus berkata Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur, menyediakan pelbagai pembangunan dan kemudahan asas bagi keseluruhan 89 kampung yang didiami oleh kira-kira 36,000 penduduk di daerah ini.

Laiwon memberitahu Bernama di sini baru-baru ini, tumpuan diberikan ke arah membangunkan sistem jalan raya yang baik bagi memudahkan perhubungan termasuk kampung ke kampung.

Beliau berkata kerajaan memperuntukan RM400 juta bagi pelbagai projek pembangunan termasuk menaiktaraf jalan raya dan membina sistem bekalan air graviti di seluruh daerah ini dari tahun 2006 hingga 2012.

Projek lain adalah menaiktaraf Jalan Pahu-Sintuong-Tuong sejauh 11 km melibatkan kos RM32 juta dan Jalan Mahua sejauh 6.5 km dengan kos RM5.4 juta.

Beliau menambahkata kerajaan turut membina Pusat Maklumat Pelancongan Tambunan bernilai RM1.8 juta yang siap pada tahun lepas.


PEMBANGUNAN TAMBUNAN DULU DAN KINI

Seorang usahawan dari Kampung Kirokot, Vincent Sarado, 54, berpandangan kira-kira 3,500 penduduk di kampung itu telah menikmati pembangunan prasarana di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 1985 berbanding sebelumnya.

"Pembangunan ketara dapat kita di lihat di mana dulu kampung ini bergelap kerana tiada bekalan elektrik, tetapi kini semua kemudahan tersedia termasuk jalan raya berturap," katanya.

Vincent berkata rakyat hanya mahukan kerajaan yang stabil dan menguntungkan rakyat selain mampu membantu memajukan perniagaan.

Ketua Kampung Pahu, Udol Undou, 47, berkata kampungnya yang terletak kira-kira 30 km dari pekan Tambunan kini mengecapi kenikmatan yang berganda berbanding dahulu di mana tumpuan diberikan ke arah membangunkan sistem jalan raya yang baik.

"Pada masa dahulu, jalan raya amat daif di mana kalau hujan laluannya pasti licin dan berlumpur selain kenderaan kecil menghadapi kesukaran untuk melaluinya. Zaman dulu kita juga terpaksa menggunakan lampu pelita dan generator untuk mendapat bekalan elektrik," katanya.

Secara umumnya jalan raya digunakan untuk mengangkut barang-barang seperti hasil pertanian, pelombongan dan pembalakan di samping barang-barang keluaran industri dan barang-barang keperluan dari kawasan pedalaman ke bandar.

Seorang suri rumah dari Kampung Monsok, Helen Yanson, 62, yang mewakili penduduk kampung itu berkata mereka menikmati kesenangan sejak jambatan konkrit bernilai RM9.2 juta di Jalan Monsok merentangi Sungai Pegalan siap sepenuhnya pada November 2010.

Ibu kepada empat anak itu berkata, jambatan sepanjang 50 meter itu dapat menghubungkan lima buah kampung berdekatan dengan penduduk setempat terutama petani memperoleh banyak manfaat kerana dapat membawa hasil pertanian mereka ke pekan Tambunan dan bandar lain untuk dijual.

Selain itu, katanya, jambatan berkenaan berada dalam laluan utama bagi para pelancong yang ingin ke Pusat Pelancongan Trusmadi, dekat sini, yang masih dalam pembangunan.

Selain infrastruktur asas, Tambunan mempunyai pelbagai kemudahan lain seperti Klinik Kesihatan di kampung-kampung termasuk Klinik 1Malaysia, Perpustakaan Daerah Tambunan, yang dijangka siap pada November 2014, dan sistem bekalan air graviti.


KETOKOHAN PAIRIN JADIKAN TAMBUNAN MASYARAKAT KDM CONTOH

Rata-rata penduduk yang ditemui penulis menerusi kunjungan ke daerah itu baru-baru ini juga mendapati Pairin, yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut, masih diperlukan bagi mewakili kawasan ini.

Pairin menjadi lambang keagungan bagi masyarakat KDM yang berjaya mengekalkan amalan tradisional dan kebudayaan yang diwarisi sejak dahulu lagi untuk tatapan generasi akan datang.

Laiwon yang telah lama mengikuti kerjaya politik Pairin berkata pemimpin tertinggi KDM itu harus dikekalkan kerana pelbagai sumbangan beliau yang tidak terhingga dalam memajukan Tambunan sebagai daerah tersohor dan contoh baik bagi kaum itu.

Seorang ahli perniagaan berjaya dari Kampung Nambayan, di sini, Suhaimi Abdullah, 40, yang mewakili generasi muda berkata kepimpinan Pairin diperlukan kerana pengalaman luas dan jasa beliau yang banyak di kawasan ini.


KOLEJ KDM AKAN CAPAI STATUS UNIVERSITI DAN KETELUSAN RCI

Selain jasa dalam membela nasib rakyat, Pairin berjaya melahirkan impian agar Kolej KDM yang bakal diwujudkan di Sabah menjadi mercu tanda kejayaan masyarakat berkenaan.

Pengumuman penubuhan Kolej KDM itu semasa kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Tambunan pada 17 Jun, 2012 membuka lembaran baru dalam arena pendidikan negara yang membuktikan kerajaan mengutamakan kepentingan semua kaum di negara ini.

"Ini satu keperluan kita daripada segi pendidikan dan memberi peluang kepada generasi akan datang untuk menuntut ilmu. Saya yakin dengan persefahaman dan kerjasama semua pihak, kolej ini akan menjadi kenyataan untuk melahirkan generasi muda berpendidikan dan berkemahiran tinggi," kata Laiwon.

Masyarakat KDM seharusnya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan perdana menteri dan Kerajaan Negeri yang memberi kelulusan bagi pembinaan kolej KDM di Tambunan.

Sementara itu, kata Laiwon, keikhlasan dan ketelusan Pairin terserlah menerusi kejayaan Najib menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat isu pendatang tanpa izin di Sabah yang telah memulakan sesi pendengaran awam pada Februari lepas.



TAMBUNAN POTENSI DAERAH PELANCONGAN MENARIK

Daerah Tambunan mempunyai beberapa tempat pelancongan menarik termasuk Air Terjun Mahua yang terletak kira-kira 26km dari bandar Tambunan.

Air Terjun Mahua setinggi 17 meter, yang terletak sekitar Taman Banjaran Crocker dan dikendalikan oleh Taman Sabah, berada di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Ia dibuka pada Jun 2003, dan sejak itu jumlah pelancong dari luar dan dalam negara terus meningkat sehingga 14,000 orang pada tahun lepas.

Kini terdapat Mahua Rainforest Paradise yang diusahakan oleh Koperasi Mahua Homestay Berhad yang menawarkan kemudahan asrama dan dewan serbaguna untuk mengadakan pelbagai acara, kursus, kem motivasi mahupun hari keluarga.

Sejumlah RM1.7 juta dibelanjakan bagi pembinaan resort itu yang beroperasi sejak Mac 2012.

Sementara itu, terdapat Gunung Trusmadi, gunung kedua tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu, di kawasan Hutan Simpan Trusmadi iaitu kira-kira 25 kilometer dari pekan Tambunan.

Bernama pernah memetik Pairin sebagai berkata Gunung Trusmadi dengan ketinggian 2,900 meter berpotensi menarik pelancong ke daerah pedalaman itu kerana ia bukan sahaja menawarkan keadaan cuaca dingin malahan kaya dengan keunikan biodiversiti.


HARAPAN DAN SERUAN RAKYAT

Sehingga November 2012, seramai 13,235 pengundi berdaftar di Tambunan layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Pengundi terbabit seharusnya bijak menilai jasa seorang pemimpin tertinggi KDM yang banyak berjuang terhadap untung nasib suku kaum itu di negeri ini.

Apatah lagi Pairin membayangkan PRU-13 akan menjadi pilihan raya terakhirnya sebagai wakil rakyat.

Beliau dilaporkan memberi alasan keputusan dibuat memandangkan semakin sukar untuk meneruskan tugas sebagai wakil rakyat dengan usianya yang semakin meningkat.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Pairin memenangi kerusi Parlimen Keningau dengan majoriti 4,264 undi menewaskan adiknya Datuk Jeffrey Kitingan dari Parti Keadilan Rakyat sementara DUN Tambunan dengan majoriti 2,781 undi mengalahkan Mozes Michael Iking daripada parti yang sama.

"Kami hanya mahukan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, kerajaan yang stabil dan mampu memberi segala keperluan dan kemajuan kepada kawasan ini demi kelangsungan kepada generasi akan datang," kata seorang petani yang hanya mahu dikenali sebagai Ambom.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.