Friday, April 5, 2013

PBS, PBRS dan UPKO setuju kaji semula kad pengenalan di Sabah

KOTA BELUD: Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) daerah ini, menyokong penuh cadangan presidennya, Tan Sri Bernard Dompok, supaya semua kad pengenalan yang dikeluarkan di Sabah dikaji semula. 

Timbalan Ketua Bahagian, Ewon Benedick berkata, langkah itu adalah untuk memastikan hanya rakyat Sabah yang tulen mendapat kad pengenalan baru yang akan dikeluarkan. 

Beliau berkata, cadangan itu yang dibuat oleh Dompok semasa pelancaran Gelombang Tataba di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang baru-baru ini adalah idea terbaik untuk menyelesaikan secara tuntas pemberian dokumen kenegaraan secara haram. 

“Kami amat menghargai komitmen kerajaan pimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan cadangan Dompok seharusnya dijadikan sebagai satu rekomendasi oleh RCI,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat UPKO CLC Kadamaian, di sini, kelmarin. 

Ewon turut memberi sokongan kepada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Pairin Kitingan dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup yang turut bersetuju dan sama-sama memperjuangkan cadangan itu secara bersama dalam Barisan Nasional. 

“Dompok telah menginisiatifkan satu penyelidikan komprehensif mengenai pemilikan dokumen kenegaraan haram dan pendatang asing tanpa izin di Sabah, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Beliau sudah bersedia membentangkan laporan penyelidikan sebanyak 25 jilid kepada RCI dan juga kerajaan,’ katanya. 

Katanya lagi, hasil penyelidikan tersebut mendapati banyak insiden pendatang asing memperolehi kad pengenalan melalui cara yang tidak sah oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk pegawai Kerajaan. 

Ewon yang juga Ketua Komulakan UPKO berkata, “tiada sesiapa pun harus takut untuk membuktikan ketulenan sebagai warga Sabah yang sebenar”. 

“Sebagai tanda sokongan kepada cadangan ini, kami di UPKO Kota Belud bersedia menjadi kumpulan pertama untuk menyerahkan MyKad sekarang ini agar latar belakang kami turut diselidiki sepenuhnya sebagai orang asal Sabah. 

“Kita harus sedar bahawa ancaman keselamatan sudah pun berada di kalangan penduduk Sabah ketika ini. Justeru, mesti ada satu kesungguhan politik yang kuat dan perlu dilaksanakan oleh kerajaan termasuk melaksanakan cadangan Dompok,” katanya. 

Ewon berkata: “Kami berkongsi pendapat dengan Dompok bahawa kad pengenalan warganegara Malaysia sudah melalui banyak perubahan pengeluaran dan tidak ada sebab kenapa satu lagi perubahan drastik tidak boleh dilaksanakan untuk membolehkan hanya orang Sabah tulen sahaja mendapat kad pengenalan yang baru nanti”. 

“Ini adalah perjuangan berterusan kami. Sudah tentunya kami tidak mahu mewariskan masalah ini kepada generasi akan datang, sebaliknya kita mahu meninggalkan kejayaan penyelesaian masalah ini secara tuntas pada era ini supaya 50 tahun akan datang, generasi pada masa itu berbangga meraikan sambutan ulang tahun 100 Malaysia yang gemilang,” katanya. - New Sabah Times

2 comments:

  1. I waѕ suggeѕtеd this website bу my cоusіn.
    I аm nοt sure whetheг this post іs wгitten by hіm aѕ nobody elsе
    κnoω suсh dеtaіleԁ about my trоuble.
    You are inсredible! Thаnks!

    Cheсκ οut my ωeb-site ..

    . skin lightening products

    ReplyDelete
  2. mmg patut ia dikaji semula

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.