Saturday, April 13, 2013

BN Sabah bakal ulangi kemenangan besar

Didorong oleh situasi politik dan ekonomi yang baik di negeri ini, banyak pemerhati politik meramalkan, BN Sabah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman bakal mengulangi kemenangan besar untuk pilihanraya umum ke-13 ini. Walaupun BN dijangka menghadapi tentangan hebat daripada parti pembangkang, namun dengan kesepaduan dan kesefahaman yang amat jitu, pastinya BN Sabah mampu mengulangi kecemerlangan itu.

Kejayaan Musa mentadbir negeri dengan baik adalah "kerana beliau adalah ketua menteri untuk semua", iaitu tidak ada kaum yang mendapat perhatian istimewa dan tidak ada kaum yang dipinggirkan sepanjang pentadbiran beliau. Walaupun seseorang pemimpin itu tidak mampu memuaskan hati semua orang, namun pemimpin itu tetap dianggap berjaya apabila mereka berupaya membawa pembangunan untuk dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Sesetengah orang berkata pemimpin cenderung memonopoli semuanya dan tidak membahagikan kekayaan negeri secara saksama. Dalam soal ini, jika sesetengah kawasan kurang membangun, semua ini disebabkan oleh wakil rakyat kawasan itu yang telah gagal menjalankan tugas dengan baik. Oleh itu, tidak adil menyalahkan sepenuhnya ketua menteri selaku ketua kerajaan negeri.

Sejak Sabah memperolehi kemerdekaan 49 tahun lepas, tiada pemimpin politik di Sabah yang sepopular Musa, terutamanya selepas UMNO/BN berkuasa di negeri ini pada 1994. Malah sebelum itu, populariti ketua-ketua menteri terdahulu termasuk Tan Sri Harris Salleh semasa zaman Parti Berjaya adalah tidak sebaik yang dinikmati Musa ketika ini.

Sejak lima tahun lepas, Musa telah berkomunikasi dengan rakyat menerusi 'bahasa pembangunan', dan ini diterima baik rakyat menerusi ungkapan ringkas beliau "di bawah pentadbiran Musa, anda boleh buat wang dan mempunyai kehidupan selesa tanpa banyak gangguan politik atau komunal".

Bagi saya, Musa mentadbir negeri dengan bijak dengan membawa pembangunan secara fizikal dan politik. Musa tahu mengenai keperluan rakyat kerana selama sembilan tahun ini, beberapa idea telah dilaksanakan seperti menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan mempromosikan Sabah sebagai hab pendidikan (Sandakan).

Pada awalnya, Musa telah banyak mengorbankan popularitinya hanya untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik termasuk perbelanjaan dan pengurusan kewangan negeri. Namun pengorbanan itu ternyata tidak sia-sia apabila Ketua Audit Negara menyatakan bahawa (kewangan) Sabah berada dalam keadaan baik dan di bawah kepimpinan yang baik. Secara tidak langsung, populariti Musa kembali menyerlah dan meningkat terutamanya ketika pilihanraya bakal berlangsung tidak lama lagi..

Selain aspek pengurusan kewangan, Sabah juga semakin menonjol apabila berjaya menarik banyak pelawat (asing dan tempatan) dan pelabur dari seluruh dunia. Lihat sahaja jumlah pelancong yang meningkat setiap tahun dan pelaksanaan pelbagai projek di seluruh negeri. Ini adalah petanda yang jelas bahawa Sabah berada di bawah kepimpinan yang baik dan tiada sebab untuk meminta perubahan.

Walaupun sejak awal tahun ini Sabah berhadapan dengan insiden yang menggemparkan negara, namun sektor perniagaan tetap berkembang maju, malah banyak sektor baharu sedang dibangunkan. Kebelakangan ini, banyak pelawat domestik berkata: "Sekarang susah mahu cari makan di Selangor. Sabah lagi bagus!". Kini ia merupakan kenyataan tipikal yang kita dengar daripada ahli perniagaan yang datang dari negeri-negeri lain. Setiap kali kita dengar kononnya pembangkang semakin bertapak di Sabah, itu hanyalah sekadar mimpi untuk menyedapkan halwa telinga pemimpin-pemimpin pembangkang.

Menukar seorang pemimpin yang berwibawa adalah sama seperti mengambil risiko besar. Impak baik yang diharapkan jarang-jarang menjadi kenyataan. Kita patut sentiasa bersyukur dengan semua yang dinikmati dan menganggap semua ini adalah rahmat daripada Tuhan.

Pengurusan kewangan kerajaan negeri dan dasar pengurusan hutan yang dilaksanakan Musa telah diiktiraf yang terbaik di negara ini. Musa, yang menerajui kerajaan negeri sejak sepuluh tahun lepas, bukan sahaja memastikan negeri akan terus makmur tetapi juga menjamin kestabilan politik, kesejahteraan dan pembangunan infrastruktur di negeri ini.

Sabah di bawah pimpinan beliau (Musa) sedang mengalami pembangunan pesat. Adalah adil untuk berkata bahawa Musa benar-benar komited untuk memenuhi harapan bukan sahaja rakyat malah anggota dan penyokong parti komponen BN negeri. Beliau juga merupakan pemimpin yang mengutamakan hasil, yang tidak teragak-agak menggunakan pendekatan segera menyelesaikan masalah. Contoh baik ialah bagaimana beliau mengendalikan Lembaga Industri Getah Sabah yang dilanda masalah.

Dengan populasi lebih tiga juta dan lapan parti komponen BN yang perlu diuruskan, saya pasti ketua menteri sedar akan cabaran yang dihadapi untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat dan negeri ini. Pendek kata, pentadbiran Musa yang mengutamakan perpaduan tanpa mengira kaum, warna kulit atau fahaman, mendapat sokongan padu rakyat Sabah.

1 comments:

  1. BN pasti akan menjadi pilihan rakyat dan akan menang besar dalam PRU

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.