Monday, April 1, 2013

Sabah bakal nikmati lebih banyak projek berimpak tinggi

Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi di seluruh Sabah demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan berterusan di negeri ini. 

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, ini membuktikan kesungguhan kerajaan BN membangun, memajukan serta membantu rakyat di seluruh negara khususnya di Sabah. 

Beliau berkata antara projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan bandaraya ialah pembinaan perpustakaan hijau di Tanjung Aru bernilai lebih kurang RM40 juta, pusat perhotelan, pusat membeli belah dan perumahan. 

“Semua projek pembangunan ini pastinya akan membawa banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di negeri ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ‘Road Show Yayasan Sabah Bersama Rakyat – Program Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah, di Dewan Serbaguna Putatan, di sini, kelmarin. 

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin; Pengarah Yayasan Sabah, Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul; pembantu-pembantu menteri dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat. 

Program ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Barisan Nasional turut diadakan di Kudat, Sandakan dan Ranau. 

Musa berkata, kerajaan merancang untuk membangun dan mengindahkan kawasan bandaraya termasuk landskap di jalan-jalan utama bandaraya Kota kinabalu, menaiktaraf fasiliti awam, membina Astaka baru Padang Merdeka dan projek pembinaan Terminal Bas Utara di Inanam. 

“Kerajaan juga memperbaiki sistem pengangkutan jalan di kawasan bandaraya, khasnya yang melibatkan kenderaan-kenderaan awam, pemasangan lampu jalan merangkumi Jalan Sulaman, Telipok, Jalan Tugu dan Jalan Pantai selain penaiktarafan laluan pejalan kaki awam dan pusat komersil di sekitar bandaraya,” katanya. 

Selain itu katanya, kerajaan bakal melaksanakan projek pengindahan Sungai Sembulan Fasa Dua iaitu dari Sembulan ke Wisma Muis. 

Beliau berkata, kerajaan menyedari kepentingan daerah Putatan, sehubungan itu kerajaan akan membangunkan daerah itu selari dengan apa yang ada di kawasan bandaraya. 

“Bagi kawasan Putatan, kita akan menaiktaraf jalan Putatan-Lokawi bernilai RM136.2 juta dan membina sebuah jejambat di hadapan stesen kereta api di jalan Putatan,” katanya dan menambah ia bukti kerajaan amat komited membangunkan negeri ini. 

Berkenaan dengan pelan strategik Halatuju Yayasan Sabah, 2013-2023, Musa berkata, terdapat tiga program teras yang bakal memandu kerajaan memasuki ambang 2020 kelak. 

“Program itu ialah program desa, program kraftangan dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),” katanya. 

Musa berkata, melalui program Road Show ini rakyat Sabah dapat mengetahui dengan lebih jelas peranan Yayasan Sabah yang telah memberi banyak peluang kepada anak-anak muda melanjutkan pelajaran dengan memberikan pelbagai bantuan termasuk derma siswa dan biasiswa. - New Sabah Times

1 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.