Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, seorang yang berkeyakinan dan dipuji kerana pengurusan kewangan negeri yang mantap dan kecemerlangan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam pilihan raya umum 2008, sekali lagi dijangka memimpin parti gabungan itu dalam PRU menentang pakatan pembangkang yang tidak sehaluan di negeri ini.
Dalam 'ledakan' pertama yang dibuat selepas pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Musa, yang juga pengerusi BN negeri, menggesa penduduk Sabah tidak memperjudikan masa depan mereka dengan membuat ujikaji dengan sebuah kerajaan pembangkang.
"Berfikirlah dengan bijak sebelum membuat keputusan, dan memperjudikan masa depan anak serta negara kita," Musa dipetik sebagai berkata.
Musa, pemimpin yang berkarisma, mengetuai BN negeri dalam melakar kejayaan besar dalam pilihan raya umum lepas, dengan menguasai 24 daripada 25 kerusi parlimen dan 59 daripada 60 kerusi Dun, meninggalkan DAP kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan Dun Sri Tanjung (Tawau).
Dengan rundingan bagi kemungkinan pertandingan satu lawan satu atau bersemuka antara BN dan pakatan pembangkang yang sepadu di Sabah tidak menampakkan hasil, BN kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk memberi pukulan maut berganda terhadap lawannya bagi pilihan raya parlimen dan negeri.
Benih ketidaksefahaman mula bercambah dalam kalangan pembangkang apabila Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan di sini baru-baru ini bahawa pakatan pembangkang akan berdepan BN secara sendiri tanpa sokongan parti yang berpusat di Sabah dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini tidak diterima baik oleh pemimpin Parti Maju Sabah (SAPP), sebuah parti tempatan yang meninggalkan BN pada 17 Sept, 2008, yang mengharapkan perikatan strategik untuk berdepan kekuatan jentera pilihan raya BN.
Dalam apa yang dilihat sebagai satu tamparan kepada pembangkang, setiausaha agung SAPP Datuk Richard Yong kemudiannya menyifatkan pengumuman Anwar sebagai membayangkan "pakatan pembangkang terlebih yakin".
"Mereka meletakkan diri mereka terlalu tinggi sehinggakan tidak memerlukan kerjasama daripada parti di Sabah untuk berkempen menentang Barisan Nasional. Mereka tidak mengendahkan hasrat rakyat supaya pembangkang menentang BN satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang," Yong dipetik sebagai berkata.
Lebih memburukkan keadaan, Pengerusi Parti Reformasi Negeri Sabah (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengesahkan menyertai persaingan itu, dan menjangkakan partinya terlibat dalam pertandingan tiga penjuru atau lebih bagi sebahagian besar kerusi parlimen dan negeri.
Tanpa menyebut bahawa ini mungkin memecahkan lagi undi pembangkang dan memberi kelebihan kepada parti pemerintah, Jeffrey berkata "setiap parti politik bebas meletak calon dalam pilihan raya memandangkan ia sejajar dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di Malaysia".
Seorang penganalisis politik, Salman Nurillah, berkata berdasarkan senario politik yang berlaku di negeri ini, dengan perpecahan dan ketidaksepakatan antara parti pembangkang, BN nampaknya mempunyai kelebihan untuk memerintah Sabah bagi tempoh lima tahun lagi.
Salman, seorang bekas penjawat awam berkelulusan ijazah undang-undang dari Universiti Malaya dan ijazah sarjana dari UiTM, berkata dengan SAPP dan STAR menyertai saingan itu dan memberi tumpuan khas terhadap isu agenda Autonomi Borneo, ini sudah tentu memberi lonjakan untuk BN mengulangi kejayaannya pada pilihan raya umum ke-12.
"Kelebihan semestinyalah di pihak BN, kerana dalam arena politik, apabila berlaku perpecahan atau ketidaksepakatan dalam kalangan pembangkang, parti pemerintah akan sentiasa meraih manfaatnya," katanya.
Menyebut contoh keputusan pilihan raya umum 2008 bagi kerusi DUN Likas, Kepayan dan Inanam di Sabah, Salman berkata perpecahan undi pembangkang memberi kemenangan kepada BN.
"Saya percaya perkara seperti ini akan berlaku lagi dalam pilihan raya akan datang," katanya dan menambah sama ada calon pakatan pembangkang, atau SAPP atau malah STAR akan menjadi pengacau bagi undi pembangkang dalam apa cara sekalipun.
Satu lagi faktor yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah ialah keseriusan kerajaan BN mengendalikan isu keselamatan, khususnya pencerobohan pengganas di Lahad Datu.
"Saya berpendapat ini adalah 'rahmat yang terselindung' dari sudut keselamatan yang sebelum ini diambil mudah.
"Dengan keputusan kerajaan meningkatkan jumlah anggota keselamatan untuk melindungi kedaulatan negeri ini, terutamanya di pantai timur di samping pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), ia membangkitkan keyakinan rakyat, khususnya pengundi, kepada kerajaan.
"Mereka berasa selamat kerana keadaan keselamatan terkawal dan yakin dengan usaha bersepadu kerajaan untuk mengelak insiden serupa daripada berulang," katanya.
Salman berkata faktor menyenangi pentadbiran kerajaan Sabah yang baik di bawah kepimpinan Musa, lebih-lebih lagi dalam membawa pembangunan dari semua aspek kepada rakyat dan penerimaan dasar transformasi baharu yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengilhamkan gagasan 1Malaysia, akan turut menyumbang kepada kejayaan dalam pilihan raya.
Beliau sependapat dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa Najib bekerja keras bagi BN dan negara sebagai perdana menteri dari segi transformasi politik dan ekonomi sejak mengambil alih teraju kepimpinan.
Sementara itu, Salman meramalkan BN akan berdepan cabaran getir untuk memenangi semula kerusi Kota Kinabalu dan Sri Tanjung yang dikuasai DAP selain bakal diberi tentangan sengit pembangkang di kawasan bandar dan sub-bandar.
Beliau berkata ini termasuk kerusi Parlimen Sandakan, Tawau, Beaufort, Tuaran, Penampang, Sepanggar dan Pensiangan.
"Sudah tentu, dengan pemilihan sewajarnya apa yang dipanggil 'calon boleh menang', Barisan Nasional akan dapat melunturkan pengaruh pembangkang di kawasan ini," katanya.
--BERNAMA
BN pasti akan menang kerana pembangkang kini makin lemah dan berpecah
ReplyDelete