Friday, April 19, 2013

Ansari Merajuk: PKR gagal mempraktikkan autonominya kepada Sabah

KOTA KINABALU 18 April - Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansari Abdullah menyifatkan kepimpinan parti itu gagal mengotakan janji yang dibuat semasa pelancaran deklarasi PKR di Kuching, Sarawak, iaitu menjanjikan autonomi kepada Sabah. 

Katanya, keputusan PKR Pusat menolak hampir dua pertiga senarai calon yang dikemukakan cabang-cabang PKR Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 membuktikan kegagalan parti itu menerima calon-calon yang dicadangkan mereka. 

"Majoriti ketua-ketua cabang PKR Sabah terkilan dengan keputusan ini, parti gagal menunjukkan keikhlasan, gagal mempraktikkan autonominya kepada Sabah iaitu memberikan kuasa kepada cabang memilih calon sesuai. 

"Semua ketua-ketua cabang kena menjelaskan situasi ini kepada cabang masing-masing. Saya pun kena balik Tuaran dan berjumpa cabang saya. Esok, kita akan membuat kenyataan susulan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Cabang PKR Sabah di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Ansari turut membidas Pengerusi Angkatan Perubahan Sabah (APS), Datuk Seri Wilfred Bumburing kerana melanggar janji tidak mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran dalam pilihan raya umum akan datang. 

"Beliau tidak kacau cuma berbohong. Sekarang, berapa calon dia, Tuaran ambil dua, bererti dia pembohong," katanya. 

Dalam pilihan raya umum lalu, Ansari yang mewakili PKR tewas kepada Bumburing yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti sebanyak 6,622 undi. 

Kali ini, selain mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran yang disandangnya, Bumburing turut bertanding di Dewan Undangan Negeri Kiulu manakala Ansari yang merupakan Ketua Cabang Tuaran tidak dicalonkan pucuk pimpinan PKR. 

Dalam pada itu, tambah Ansari, penggunaan lambang PKR oleh calon APS yang tidak berdaftar sebagai parti politik merupakan pengkhianatan kepada ahli PKR. 

"Sekiranya saya adalah Presiden parti, saya tidak akan membenarkannya kepada bukan ahli. Semasa saya menjadi Ketua PKR Sabah, saya minta calon Pas, Awang Leman mengisi borang PKR dahulu sebelum boleh gunakan logo parti, beliau akur. 

"Jadi, semua ini berbalik kepada prinsip, disiplin dan peraturan parti," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.