Monday, April 22, 2013

Musa Aman lancar 16 perkara utama manifesto BN Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada Isnin melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah bertemakan 'Kami Telah Tunaikan Lebih Banyak Lagi Akan Dilaksanakan', yang mengandungi 16 perkara utama, merangkumi hala tuju pembangunan dan kemajuan negeri ini. 

Manifesto itu merupakan pelengkap kepada manifesto nasional yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak "Manifesto ini adalah komitmen dan iltizam kita semua dalam meneruskan perjuangan yang sentiasa dekat di hati rakyat. 

"Ia telah dipersetujui selepas perbincangan oleh semua parti komponen yang mengambil kira semua pihak kerana kita tidak populis dan kita berpijak di bumi yang nyata," kata Musa yang juga penyelaras BN negeri pada majlis pelancaran di Bangunan Umno di sini. 

Antara kandungan manifesto itu ialah komitmen untuk melaksanakan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani pendatang haram, memelihara dan memperkenalkan ordinan tanah yang relevan dan mempertahankan keamanan serta keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM). 

Manifesto itu juga mengandungi janji BN yang akan memastikan peluang saksama dalam perkhidmatan negeri, meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas kepada Sabah. 

BN juga akan mendokong Perjanjian 20 Perkara selain mengurangkan tahap kemiskinan kepada tiga peratus dalam tempoh lima tahun, memelihara alam sekitar, membanteras rasuah, perundingan dengan masyarakat dalam membuat dasar serta sasaran terhadap pembangunan belia dan sukan. 

Golongan wanita juga tidak dilupakan apabila manifesto itu turut melibatkan usaha memperkasa wanita dan memastikan kesaksamaan gender, meningkatkan pembangunan modal insan, penyertaan dalam ekonomi moden, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta keberkesanan badan-badan negeri. 

Musa berkata segala janji dalam kandungan manifesto itu akan ditunaikan sekiranya kerajaan BN mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum ini. 

Malah, beliau percaya rakyat Sabah akan bijak membuat penilaian terhadap pencapaian kerajaan BN sepertimana terkandung dalam manifesto yang akan diedarkan kepada seluruh rakyat Sabah. 

Menurutnya, manifesto itu akan diedar bersama aku janji BN nasional serta buletin BN dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Kadazandusun.Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Musa berkata manifesto yang dilancarkan itu adalah praktikal yang mampu dilaksanakan apabila mentadbir kerajaan negeri dan pusat. 

"Manifesto ini adalah amat realistik dan berpijak di bumi yang nyata boleh dlaksanakan sedangkan manifesto pembangkang semuanya tidak betul dan tidak boleh melaksanakan segala janjinya," katanya. 

Turut hadir kesemua calon BN pada pilihan raya umum ini termasuk pemimpin parti komponen BN iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Pairin Kitingan, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk VK Liew.

--BERNAMA

Ringkasan 16 perkara utama manifesto Barisan Nasional Sabah:
  1. Komitmen untuk melaksanakan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani pendatang haram.
  2. Memelihara dan memperkenalkan ordinan tanah yang relevan.
  3. Mempertahankan keamanan serta keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM). 
  4. Memastikan peluang saksama dalam perkhidmatan negeri.
  5. Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas kepada Sabah. 
  6. Mendokong Perjanjian 20 Perkara.
  7. Mengurangkan tahap kemiskinan kepada tiga peratus dalam tempoh lima tahun.
  8. Memelihara alam sekitar.
  9. Membanteras rasuah.
  10. Perundingan dengan masyarakat dalam membuat dasar.
  11. Sasaran terhadap pembangunan belia dan sukan.
  12. Memperkasa wanita dan memastikan kesaksamaan gender.
  13. Meningkatkan pembangunan modal insan.
  14. Penyertaan dalam ekonomi moden.
  15. Merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
  16. Keberkesanan badan-badan negeri.

13 comments:

  1. Manifesto tambahan Barisan Nasional (BN) Sabah yang menjanjikan kehidupan lebih baik buat rakyat berbilang kaum di negeri ini, mampu menawan hati rakyat, sekaligus mengekalkan tampuk pemerintahan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

    ReplyDelete
  2. Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joseph Pairin Kitigan berkata manifesto itu sangat realistik dan relevan disertai dengan niat yang ikhlas bagi memastikan rakyat mendapat peluang kehidupan yang lebih baik.

    ReplyDelete
  3. Manifesto itu jika ditelaah, akan mendapati BN komited untuk melaksanakan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan masalah pendatang asing dan perkara ini juga dibincangkan dalam parti,"

    ReplyDelete
  4. Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Giluk Dompok berkata manifesto sebagai tambahan kepada manifesto BN peringkat nasional itu amat bertepatan kerana ia mengambil kira permintaan rakyat Sabah dalam menggubal sesuatu dasar.

    ReplyDelete
  5. Musa yang juga pengerusi BN negeri hari ini melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah bertemakan 'Kami Telah Tunaikan Lebih Banyak Lagi Akan Dilaksanakan', yang mengandungi 16 perkara utama, merangkumi hala tuju pembangunan dan kemajuan negeri ini.

    ReplyDelete
  6. Bagi Pengerusi Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk V.K Liew pula berkata manifesto itu bersifat padat selepas mengambil kira pendapat semua parti komponen.

    ReplyDelete
  7. Pandangan sama diutarakan Naib Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Dr Zhamriee Ibni Gulam Rasul bahawa kesepakatan parti komponen BN terserlah bukan sahaja dalam penentuan kerusi untuk pilihan raya, tetapi menerusi manifesto yang digubal itu.

    ReplyDelete
  8. Manifesto ini pasti dapat mematahkan janji-janji pembangkang yang hanya pandai bercakap tak serupa bikin bagi meraih sokongan rakyat.

    ReplyDelete
  9. Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun pula berkata tidak ada sebab untuk rakyat menolak BN kerana manifesto yang mantap atau aku janji bagi memastikan pengurusan yang efisien terhadap alam sekitar di Sabah.

    ReplyDelete
  10. Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Azizah Mohd Dun berkata manifesto itu jelas menunjukkan BN menghargai golongan wanita apabila memberi aku janji untuk memperkasakan wamita dan memastikan kesaksamaan gender.

    ReplyDelete
  11. Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata manifesto yang bersifat komprensif akan membuatkan rakyat bertambah yakin dengan kerajaan BN khususnya menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan termasuk pendatang tanpa izin dan pertikaian tanah melibatkan hak anak negeri (NCR).

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.