Saturday, April 20, 2013

Renungi pengakuan Edward Ewol Mujie sepanjang berjuang dalam DAP

Kata orang, dalam politik, pencapaian lebih utama daripada sekadar menanam tebu di bibir.

Perkara ini dialami Edward Ewol Mujie, 65, yang mengaku menempuh waktu yang sukar dan mencabar ketika berjuang dalam DAP selama enam tahun sungguhpun menjadi naib pengerusi parti itu di Sabah.

Pada 11 April, Mujie mengambil keputusan untuk keluar daripada parti pembangkang berpusat di Semenanjung itu dan menyertai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah.

Tindakan berani beliau mengundang lebih banyak masalah kepada DAP kerana seminggu sebelum itu, Pengerusi DAP Kepayan Stephen Jimbangan, bersama-sama 128 penyokong meninggalkan parti itu untuk menyertai Upko.

Bekas setiausaha Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (kini Majlis Bandaraya KK)berkata beliau gagal memenuhi harapannya untuk menjadi suara rakyat yang berkesan menerusi DAP, terutamanya dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Kadazan-Dusun-Murut.

Dalam pengakuan yang berterus-terang, Mujie berkata sebagai pemimpin pembangkang, tidak banyak yang boleh dilakukannya untuk menyaingi prestasi secara langsung pemimpin BN, terutamanya dari segi membawa perubahan sosio-ekonomi kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang dihuni majoriti penduduk Kadazan, Dusun dan Murut.

"Berbeza dengan BN, saya dapati sukar bagi DAP menampung wawasan saya untuk menyediakan perkhidmatan bermakna kepada rakyat, terutamanya masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut.

"Pada awalnya, saya melihat DAP sebagai platform politik yang sesuai untuk menyuarakan masalah dan keluhan rakyat.

"Tetapi apa yang berlaku ialah saya sebenarnya berdepan situasi yang 'menghalang' disebabkan program dan aktiviti yang terhad, malah untuk bergerak ke seluruh negeri bagi mempromosikan perjuangan DAP pun susah," katanya kepada Bernama.

Bekas pelajar Kolej Sabah itu berkata beliau berasa 'ketinggalan' daripada gaya politik 'touch and go' DAP.

"Memanglah, pemimpin tertinggi DAP sekali-sekala datang melawat Sabah, namun amat jarang berlaku interaksi sebenar antara pemimpin parti di peringkat kebangsaan dan setempat," katanya.

Oleh kerana itu, usaha DAP untuk menembusi masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut di Sabah menemui kegagalan dan peletakan jawatan anggota kanan seperti Mujie dan Stephen memberi tamparan hebat kepada parti itu.

Mujie bertanding kerusi Parlimen Sepanggar atas tiket DAP pada pilihan raya umum 2008 namun kalah kepada calon BN, Eric E. Majimbun.

Calon BN bagi kerusi itu pada pilihan raya umum 5 Mei ini ialah Datuk Jumat Idris.

Ditanya sebab beliau memilih Upko, Mujie berkata parti itu sebuah parti komponen BN yang memberi tumpuan khusus kepada kepentingan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut.

Mujie memuji Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Tan Sri Bernard Dompok dan Tan Sri Joseph Kurup, masing-masing merupakan presiden PBS, Upko dan PBRS, kerana merapatkan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut di bawah inisiatif 'Gelombang Tataba.

"Saya amat tertarik dengan wawasan seperti ini. Jadi, saya fikir daripada menghabiskan tenaga dan masa dengan DAP, saya boleh menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut, terutamanya golongan muda," kata Mujie, seorang dusun lotud dari Kampung Batangan di Tuaran.

"Saya tidak minta apa-apa (jawatan daripada Upko). Yang penting ialah apakah sumbangan saya kepada parti dan paling mustahak kepada masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut.

"Saya harap Gelombang Tataba dapat membawa perpaduan lebih erat antara kaum ini agar mereka dapat melaksanakan peranan lebih besar dalam pembinaan negara," katanya.

Mengenai retorik 'Sabah for Sabahans', Mujie berkata: "Sama ada kita suka atau tidak, penduduk di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semuanya rakyat Malaysia.

"Ini adalah satu kenyataan dan kita mesti menerima kenyataan selagi kita menganggapkan diri kita sebagai rakyat Malaysia yang sebenar."

1 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.