Wednesday, April 24, 2013

Najib Yakin Sabah Masih Simpanan Tetap BN

TENOM - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meneruskan lawatan pada hari kedua ke beberapa daerah di negeri ini berkata Sabah masih menjadi simpanan tetap Barisan Nasional (BN).

Najib yang juga Pengerusi BN melawat Kuala Penyu, Beaufort, Kimanis dan Bongawan Selasa. Cuaca buruk menghalang beliau daripada terbang ke Kota Belud tetapi perkembangan teknologi menyelamatkan keadaan.

Beliau bercakap melalui telefon dengan calon BN Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan dan mesej disampaikannya untuk faedah 10,000 orang yang menanti beliau di sana.

"Sabah tetap simpanan tetap BN. Anggota gabungan menerima sokongan menggalakkan termasuk daripada rakyat di kawasan pedalaman.

Najib berkata kerajaan BN masih berupaya dan kukuh untuk terus kuat dan mampu terus memajukan Sabah bagi mengimbangi pembangunan di antara negeri ini dengan di semenanjung.

"Sabah tetap simpanan tetap BN, kalau kita simpan simpanan tetap (wang) dalam bank sekali sekala kita kena tengok juga.

"Semalam, saya pergi banyak tempat di Kuala Penyu, Beaufort, Kimanis Bongawan dan saya tak dapat sampai ke Kota Belud tetapi saya diberitahu 10,000 orang menanti saya di Kota Belud.

"Hari ini saya di Tenom dan saya diberitahu simpanan tetap kita masih kukuh," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di padang pekan Tenom , Rabu.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan calon BN Parlimen Tenom Datuk Raimee Unggi, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap Datuk Radin Malleh dan Senator Dr Lucas Umbul.

Sambil menolak tanggapan bahawa simpanan tetap Sabah sudah 'cair', Najib berkata pembangkang tidak akan dapat menguasai Sabah.

Di hadapan kira-kira 8,000 hadirin, Najib berkata BN telah membentangkan aku janji "Janji Ditepati, Membawa Harapan" yang lebih terjamin bagi tempoh lima tahun akan datang berbanding pembangkang yang merosakkan erti manifesto berikutan tindakan mereka tidak menunaikan janji dan menjadikan manifesto bersifat sekadar atas kertas kosong.

"Dalam tempoh empat tahun semua boleh kita lihat dan rasai, BN telah membawa perubahan termasuk dari segi pengurusan ekonomi kita menongkah arus.

"Badan IMF (Bank Dunia) Ketua Eksekutifnya Christine Lagarde bila berjumpa saya tahun sudah (menyatakan) bahawa Malaysia satu-satunya negara di dunia di mana IMF terpaksa semak kadar pertumbuhan lebih tinggi dari apa yang dijangkakan," katanya.

Merujuk perkembangan positif dalam pertumbuhan ekonomi negara, Najib berkata kejayaan itu antara testimoni kerajaan dalam mengurus dan mengembangkan ekonomi dan seterusnya memulangkan hasil kepada rakyat berbanding unjuran ekonomi pembangkang yang membankrapkan negara.

Dalam pada itu, Najib berjanji untuk terus memakmurkan Sabah termasuk menyuarakan sokongan kepada konsep geran komunal hasil inisiatif kerajaan negeri Sabah yang memberi jaminan masa depan kepada masyarakat luar bandar.

"Kalau soal tanah bagi pada rakyat Sabah saya sokong 100 peratus.

Bagi tanah pada orang Tenom, Pensiangan kerana kawasan ini subur, kawasan ini kita boleh jadikan hab pertanian untuk memberi jaminan bekalan makanan kepada negara.

"Kita buat geran komunal agar hak milik tanah kekal kepada mereka yang mendapat tanah," katanya merujuk pemberian 500,050 hektar tanah kepada penduduk pedalaman Sabah.

Oleh yang demikian, Najib mengingatkan rakyat Sabah khususnya di kawasan pedalaman supaya membuat keputusan yang bijak menyokong calon BN pada pilihan raya umum bagi menentukan hala tuju masa depan negeri ini.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan manifesto tambahan BN Sabah dengan peruntukan RM11 juta bagi menaik taraf persekitaran pekan Tenom dan pelbagai kemudahan asas lain serta infrastruktur di daerah ini.

Daerah Tenom yang mempunyai keluasan kira-kira 2,238km didiami lebih 35,000 penduduk dengan 70 peratus daripadanya kaum Murut.

Pada pilihan raya umum ini, calon BN Datuk Raimee Unggi ditentang Masdin Tumas daripada PKR, Jaineh Juaya @ Jimmy Jawatah (SAPP), Hasmin @ Azroy Abdullah (STAR) dan Mutang @ Selvester Dawat (KITA).

8 comments:

  1. Majalah hal ehwal semasa antarabangsa, The Economist meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    ReplyDelete
  2. Ia berdasarkan faktor saiz pengundi yang besar di kawasan luar bandar.

    ReplyDelete
  3. Kebarangkalian masih memihak kepada BN,” demikian lapor The Economist menerusi artikel bertajuk “Malaysia’s looming election : Video nasties”.

    ReplyDelete
  4. Saiz kawasan pengundian adalah cenderung kepada pengundi di sebelah luar bandar yang dilihat konservatif, berbanding penduduk di kawasan bandar kosmopolitan yang mendapat lebih banyak maklumat,”

    ReplyDelete
  5. Semasa Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008, BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen, sekaligus gagal mengekalkan majoriti dua pertiga.

    ReplyDelete
  6. enerusi analisis The Economist, pada tahun 2008 itu juga, pakatan pembangkang iaitu PKR, DAP dan PAS sebenarnya memenangi undi popular di Semenanjung Malaysia dengan penguasaan 51 peratus.

    Menurut artikel lagi, buat pertama kali dalam sejarah, keputusan Pilihan Raya Umum kali ini, tidak mampu dijangka dengan tepat.

    ReplyDelete
  7. Majalah itu turut mengakui, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kelebihan untuk menentukan tarikh pilihan raya umum.

    “Pilihan raya serentak di kesemua negeri bakal memberi kelebihan kepada BN yang memiliki sumber dan gerak kerja yang luas,”

    ReplyDelete
  8. Artikel itu turut mendakwa, liputan media yang minimum berhubung pencerobohan di Sabah tidak akan menjejaskan persepsi pengundi Sabah yang berketurunan Filipina.

    “Walaupun pencerobohan itu tetap memberi kesan kepada BN di Sabah, namun cara kerajaan BN mengendalikannya akan membantu reputasi BN,”

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.