Tuesday, May 7, 2013

Kabinet Sabah akan dibarisi muka baru

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, Kabinet baharu kerajaan negeri akan dibentuk dalam dua atau tiga hari lagi. 

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Kabinet baharu itu akan dibarisi oleh beberapa muka baharu. 

Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di sini, pada jam 5.10 petang kelmarin. 

Sambil mengulangi penghargaan kepada rakyat Sabah kerana masih memberi kepercayaan BN untuk menerajui pucuk pemerintahan negeri, beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai kemenangan bersama rakyat dan juga jentera parti untuk memastikan kejayaan yang berprestasi baik. 

“Saya juga berjanji akan menggalas tanggungjawab sebagai ketua menteri dengan bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan lebih banyak kehendak rakyat dapat direalisasikan dan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di kediaman rasmi Ketua Menteri Sri Gaya, di sini, kelmarin. 

Musa yakin percaya juga optimis bahawa kerjasama yang terjalin dengan kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal terjalin, meskipun berlaku beberapa kejutan pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 

“Selama ini kita memang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan pusat dan kita sering berjumpa, berbincang dengan perdana menteri yang saya anggap seorang yang sentiasa mendengar dan prihatin terhadap rakyat Sabah,” katanya. 

Beliau yang mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga dengan majoriti 11,569 undi percaya kejayaan BN membentuk kerajaan dengan majoriti lebih dua pertiga pada PRU13 membuktikan Sabah masih menjadi simpanan tetap BN. 

Mengulas mengenai kegagalan beberapa calon BN di beberapa kawasan yang majoriti penduduk Cina dan Kadazandusun, Musa berkata, pihaknya akan mengkaji mengapa perkara itu boleh berlaku agar dapat diperbaiki pada pilihan raya akan datang. 

BN memenangi 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 22 daripada 25 kerusi Parlimen, pada PRU13. 

Bagaimanapun, BN Sabah kali ini kehilangan 12 kerusi DUN berbanding tiga pada pilihan raya 2008.

17 comments:

  1. Spekulasi tersebar luas berhubung barisan baru Kabinet negeri Sabah, dengan penganalisis politik tempatan meramalkan sekurang-kurangnya empat menteri baharu akan dilantik, masing-masing seorang daripada Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Pasok Momogun KadazanDusun Murut Bersatu (Upko).

    ReplyDelete
  2. Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri semalam, dijangka mengumumkan senarai baru Kabinet negeri dalam beberapa hari lagi.

    ReplyDelete
  3. Musa memimpin BN Sabah melakar kejayaan dalam pilihan raya umum ke-13 yang baru sahaja berakhir dan menyaksikan BN mengekalkan kuasa dengan majoriti dua pertiga, memperoleh 48 daripada 60 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.

    ReplyDelete
  4. Pembangkang memenangi 12 kerusi berbanding tiga pada 2008.

    ReplyDelete
  5. Sebelum pilihan raya umum, terdapat enam menteri daripada Umno (termasuk Ketua Menteri yang turut menyandang portfolio Kementerian Kewangan) dalam Kabinet negeri, dua menteri daripada PBS, dua daripada Gerakan dan seorang daripada Upko.

    ReplyDelete
  6. Difahamkan selain Naib Presiden Gerakan Datuk Raymond Tan, yang juga anggota Kabinet negeri dalam kerajaan BN sebelum ini, Naib Presiden PBS Datuk Edward Yong Oui Fah, Naib Presiden LDP Datuk Pang Yuk Ming, kedua-duanya bekas menteri muda, disebut-sebut akan dinaik pangkat sebagai menteri penuh bagi slot Cina.

    ReplyDelete
  7. Bagaimanapun, Adun Tanjung Kapor Datuk Teo Chee Kang, Adun Karamunting Charles O Pang Su Pin daripada LDP dan Adun Elopura Au Kam Wah daripada Gerakan mungkin turut dipertimbangkan bagi jawatan menteri penuh atau pembantu menteri.

    ReplyDelete
  8. Barisan kerajaan Sabah terdiri daripada tiga timbalan ketua menteri mewakili kaum Kadazandusun, Cina dan Melayu, bagi menggambarkan konsep perkongsian kuasa antara tiga kaum utama di Sabah.

    ReplyDelete
  9. Seorang penganalisis politik, Salman Nurillah, meramalkan dengan kekalahan bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai, yang kalah kerusi Dun Api-Api, saingan bagi jawatan timbalan ketua menteri yang diperuntukkan bagi kaum Cina berkemungkinan antara Raymond Tan (Gerakan) yang lebih berpengalaman dan Pang Yuk Ming (LDP).

    ReplyDelete
  10. Ini satu lagi keadaan yang rumit bagi ketua menteri kita. LDP menang kesemua kerusi asal yang diperuntukkan kepada parti berpusat di Sabah itu dan pada masa sama, ahli politik veteran Raymond Tan menyandang jawatan timbalan ketua menteri sebelum ini

    ReplyDelete
  11. Salman, seorang bekas penjawat awam yang memiliki ijazah undang-undang dari Universiti Malaya dan ijazah Sarjana daripada UiTM, turut meramalkan sama ada Adun Karambunai Datuk Jainab Ahmad atau Adun Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar
    Titingan, kedua-duanya bekas pembantu menteri, akan dilantik menggantikan Datuk Azizah Mohd Dun yang kini Anggota Parlimen Beaufort.

    ReplyDelete
  12. Jainab berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab itu dan berkhidmat kepada rakyat, namun menyerahkannya kepada kebijaksanaan ketua menteri untuk membuat keputusan.

    ReplyDelete
  13. Menurut sumber daripada Upko, sekurang-kurangnya tiga nama - Adun Nabawan Datuk Bobbey Suan, Adun Paginatan Datuk Siringan Gubat dan Adun baharu bagi Kuala Penyu Limus Jury, disebut-sebut untuk mengisi jawatan dalam Kabinet negeri, menggantikan Datuk Ewon Ebin, Anggota Parlimen Ranau yang juga bekas Adun Paginatan.

    ReplyDelete
  14. Setakat hari ini, belum jelas sama ada terdapat pertukaran tugas bagi bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang memenangi kerusi DUN Usukan, dalam barisan baharu Kabinet negeri.

    ReplyDelete
  15. Sementara itu, Adun Kiulu, yang juga Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Joniston Bangkuai, Adun Kundasang Joachim Gunsalam dan Adun Tandek Anita Baranting daripada PBS adalah antara calon berpotensi bagi jawatan pembantu menteri

    ReplyDelete
  16. Saya menyokong Datuk seri Nasir Tun Sakaran kekal menjadi Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam negeri Sabah...dan bagi pendapat saya,tidak mustahil Datuk Seri Nasir akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah...pandangan dari saya...

    ReplyDelete
  17. Kabinet harus juga selari dengan manifesto BN Sabah PRU13. Ini termasuk meliputi syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian 20 Perkara. Ini sangat penting dalam memastikan BN kembali popular dan diterima secara majoriti di Sabah dalam penggal ini.

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.