BERIKUT adalah kenyataan penuh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan bahawa dakwat kekal yang digunakan semasa proses pengundian awal pada Selasa dikesan boleh dipadam. Kenyataan ini dikeluarkan lewat Isnin malam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima maklumat berlaku penyebaran gambar melalui laman sosial mengenai pendedahan oleh seorang pengundi awal bahawa dakwat kekal yang dicalit pada jarinya mudah hilang dengan membasuh jarinya. Gambar jari yang dakwat kekal itu telah hilang dimuat naik dan disebarkan melalui laman sosial. SPR juga telah menerima maklumat bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pemimpin parti politik berkaitan perkara itu.
SPR ingin memaklumkan bahawa SPR telah membuat beberapa kali ujian terhadap dakwat kekal itu sebelum ia dibekalkan untuk digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Terbukti daripada ujian-ujian itu, dakwat itu kekal bagi tempoh 5 hingga 7 hari.
Berikutan dengan laporan polis itu, SPR telah berbincang dan mendapat maklum balas kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan oleh kegagalan sebahagian daripada petugas SPR untuk mematuhi cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal. Sebaik selepas SPR menerima laporan polis dan maklum balas itu, suatu arahan telah dikeluarkan kepada semua petugas SPR untuk mematuhi cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal.
SPR juga telah membuat beberapa ujian menggunakan dakwat kekal pada 30 April 2013 terhadap pegawai-pegawai SPR yang telah mengundi secara pos. Sebahagian daripada mereka ini telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang dan sebahagian yang lain pula telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya telah digoncang. Hasilnya, SPR mendapati jari mereka yang telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya telah digoncang lebih kekal dakwat itu di jari mereka dibandingkan dengan jari mereka yang dicalit menggunakan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang. Ujian ini dibuat berdasarkan kepada cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal.
Sebagai tambahan kepada perkara yang disebut terdahulu, SPR akan mengadakan suatu demonstrasi kepada wakil media pada 2 Mei 2013 untuk menunjukkan bahawa dakwat kekal ini jika dicalitkan pada jari pengundi mengikut cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal, dakwat tersebut akan lebih kekal di jari pengundi.
BOTOL DAKWAT KEKAL PERLU DIGONCANG SETIAP 2 JAM
PUTRAJAYA (02 Mei 2013): Goncangan semula botol dakwat kekal setiap 2 jam akan sentiasa dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kandungannya tidak mendap dan mengubah corak calitan pada jari pengundi.
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata goncangan ini dibuat agar keseluruhan kandungan dakwat tersebut bercampur.
"Sebelum penutup dakwat itu dibuka, botol dakwat itu akan digoncang selama 30 saat dan ianya digoncang semula setiap dua jam selepas itu agar kandungannya tidak mendap," kata Kamaruddin kepada pemberita ketika demonstrasi dakwat kekal di Pejabat SPR disini.
Seandainya botol itu tidak digoncang, keseluruhan bahan-bahan dakwat itu hanya akan mendap di bahagian bawah dan meninggalkan kandungan air sahaja di bahagian atas.
"Ia menyebabkan dakwat itu menjadi mudah dicuci oleh pengundi," kata beliau.
Pada demonstrasi itu, beberapa petugas SPR dan pemberita yang sudah pun menjalankan undi pos telah sukarela menunjukkan bagaimana dakwat itu dicalit. Antara langkah-langkah tersebut ialah selepas botol dakwat kekal itu digoncang selama 30 saat, ianya akan dibuka dan jari telunjuk kiri pengundi akan dicalit.
Calitan tersebut merangkumi calitan pada keseluruhan ruas pertama hingga ke kuku dan diteruskan dibahagian bawah jari.
Dalam demonstrasi itu juga, petugas SPR telah menunjukkan proses tersebut kepada dua orang petugas media yang telah menjalani proses undi pos, Muhammad Shamsul Abd Ghani dari Sinar Harian dan Aizat Sharif dari Astro Awani dengan mencalitkan dakwat kekal di jari telunjuk kiri mereka.
Malah, turut ditunjukkan bagaimana dakwat tersebut tidak mampu dilunturkan atau ditanggalkan meskipun menggunakan sabun, cuka, cecair pencuci, iodin dan minyak berubat. Walaupun kemudiannya dibasuh dengan air, dakwat tersebut masih tetap kekal di jari dan dijangka akan hilang selewat-lewatnya tujuh hari selepas jari tersebut dicalit.
patuhi cara pemakaian, goncang sebelum digunakan
ReplyDelete