Sunday, May 12, 2013

Tiada sebarang kenaikan harga barangan terkawal di Sabah


KOTA KINABALU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sabah memaklumkan sehingga kini tidak ada sebarang kenaikan harga bagi barangan terkawal berlaku seperti mana yang digembar-gemburkan dalam laman sosial. 

Pengarah Noor Alam Khan Wahid Khan berkata, dakwaan pihak-pihak tertentu mengenai isu kenaikan harga barang di pasaran adalah tidak berasas. 

Menurutnya, pengguna tidak perlu risau kerana pihaknya masih membuat pemantauan berterusan untuk melihat harga barangan yang disenaraikan dalam barang kawalan seperti beras, gula, minyak masak, tepung, tong gas, petrol dan diesel bagi mengelakkan peniaga mengenakan harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Noor Alam berkata demikian ketika ditemui media dalam program larian 1Pengguna dan pertandingan masakan menu sihat sempena Bulan Pengguna Kebangsaan 2013 yang diadakan di Lintasan Deasoka, kelmarin. Acara itu dirasmikan oleh Mayor Bandaraya, Datuk Abidin Madingkir. 

Bagaimanapun, Noor Alam tidak menafikan terdapat sedikit kenaikan barangan di bawah bukan kawalan harga di pasaran namun ia tidak menyeluruh serta tidak menjejaskan pengguna. 

Justeru, beliau menyeru agar masyarakat menjadi pengguna yang bijak dalam membuat pilihan dan berbelanja secara sihat sebab banyak alternatif lain yang ada dipasaran. 

“Kita menyeru supaya pengguna lebih bijak, kita maklum contohnya ada kenaikan harga roti jadi sebab tu pengguna perlu bijak jugalah. Kalau roti itu naik kita pilih alternatif lain sebab banyak lagi jenama-jenama lain yang ada untuk dibeli,” nasihatnya. 

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pihak terbabit agar tidak menyebarkan khabar angin mengenai kenaikan harga bagi mengelak sebarang pembelian panik dalam kalangan orang ramai. 

“Pihak kami meminta agar pihak-pihak diluar sana tidak sewenang-wenangnya menyebarkan dan memaklumkan kenaikan harga itu berlaku sebab kadang-kadang bila kita siasat rungutan tersebut tidak berasas dan kebanyakkan rungutan itu saja-saja dibuat untuk melahirkan suasana panik dikalangan pengguna dan kita tidak mahu pengguna akan terjejas dan mula membuat pembelian secara panik dan dalam masa yang sama juga membuat rungutan terhadap kerajaan,” katanya. 

Noor Alam bagaimanapun meminta kerjasama daripada masyarakat untuk sama-sama memantau dan membuat aduan kepada pihaknya berhubung sebarang isu kenaikan harga dan bukannya memburukkan keadaan dengan menyebarkannya di laman sosial. 

Orang ramai boleh melaporkan jika berlaku sebarang penyelewengan di peringkat peniaga menerusi talian KPDNKK 1-800-886-800 atau PPDNKK Kota Kinabalu 088-484500.

2 comments:

  1. sehingga kini tidak ada sebarang laporan diterima berlaku
    kenaikan harga barangan terkawal.

    ReplyDelete
  2. diminta pihak terbabit tidak menyebarkan khabar angin
    mengenai kenaikan harga barangan bagi mengelakkan sebarang pembelian
    panik dalam kalangan orang ramai.

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.